Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis masyarakat India kecam DBP isu definisi 'tambi'

Seorang aktivis masyarakat India hari ini mengecam Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung definisi perkataan 'tambi' dalam laman sesawang jabatan tersebut yang didakwa sebagai menghina masyarakat India di Malaysia.

Ini selepas DBP memberi definisi kepada perkataan 'Tambi' sebagai: "panggilan untuk orang Keling yang lebih muda daripada kita".

"Saya mengecam tindakan ini kerana menghina seluruh masyarakat India.

"Ini tidak boleh diterima. Ini adalah penghinaan langsung," kata S Shankar Ganesh.

Terdahulu, dia turut berkongsi tangkapan skrin laman sesawang DBP itu kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, perkataan 'keling' sering digunakan untuk merujuk masyarakat India.

Aktivis S Shankar Ganesh.

Namun, masyarakat India menganggap istilah ini sebagai menunjukkan rasa tidak hormat.

Manakala, 'tambi' adalah perkataan bahasa Tamil membawa maksud 'adik lelaki'.

Perkataan 'tambi' itu digunakan secara ramah oleh masyarakat Melayu terhadap lelaki berbangsa India yang lebih muda.

Sementara itu, Shankar berkata bahawa dia akan menghantar satu notis kepada DBP menuntut permohonan maaf.

"Mereka perlu meminta maaf kepada orang ramai dan juga perlu mengeluarkan perkataan keling dari portal mereka.

"Kerajaan harus melihat perkara ini dan memberi amaran kepada semua sektor kerajaan dan separa sektor untuk melarang pengunaan kata-kata menghina terhadap mana-mana kaum di Malaysia," katanya.

Ketika dihubungi, Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata bahawa dia akan meneliti isu tersebut.

"Saya akan teliti dan beri maklum balas kemudian," katanya dalam satu mesej ringkas.

Tangkap layar di laman sesawang http://prpm.dbp.gov.my/ bagi carian perkataan 'tambi'.

ADS