Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ingin memberikan penjelasan berhubung dengan berita yang bertajuk “Aktivis masyarakat India kecam DBP isu definisi ‘tambi’” yang tersiar di portal berita Malaysiakini bertarikh 21 Mac 2021.

Kamus ialah buku rujukan yang merakamkan pelbagai maklumat tentang kosa kata sesuatu bahasa, misalnya kata standard yang mengungkapkan konsep tertentu dalam pelbagai bidang ilmu dan dalam situasi atau konteks tertentu, kata yang diungkapkan dalam pelbagai situasi sosial seperti kata yang digunakan oleh kerabat diraja, kata sapaan, gelaran, klasik, dialek, sukuan, slanga, kata basahan dan sebagainya.

Di dalam kamus juga terakam kata daripada bahasa asing yang telah terserap pemakaiannya dalam sesuatu bahasa, misalnya dalam bahasa Melayu, ada kata tambi, camca, amoi dan sebagainya yang termasuk dalam senarai entri Kamus Dewan (KD), Kamus Pelajar (KP) dan yang terkini Kamus Dewan Perdana (KDP).

Dari segi olahan takrif kata tambi, yang dibahaskan oleh media sekarang, ada sedikit perbezaan dalam ketiga-tiga buah kamus ini.

Misalnya, Kamus Dewan Edisi Keempat (2005)(KD4), tambi ditakrifkan sebagai “panggilan untuk orang India berpangkat adik”, Kamus Pelajar (1987) “panggilan untuk orang Keling yang lebih muda daripada kita” dan Kamus Dewan Perdana (2020) pula “panggilan untuk orang lelaki muda India yang berpangkat adik”.

Tentang penggunaan kata orang Keling dalam takrif tambi pada KP, kamus ini diterbitkan pada tahun 1987 lagi dan dikemas kini edisinya pada tahun 2007 dengan hanya membuat penambahan entri sahaja.

Walau bagaimanapun, pengemaskinian dan penyusunan edisi ketiga kamus.

ini sedang dirancang oleh DBP dan aspek penambahbaikan takrif akan diberikan perhatian untuk edisi baharu ini.

Sesuai dengan kategorinya sebagai kamus umum yang bersifat sejarah dan kamus yang hidup (living dictionary), segala fakta tentang kata yang pernah timbul dan sedang hidup penggunaannya dalam masyarakat penutur bahasa Melayu akan dirakamkan di dalam kamus.

Demikianlah juga halnya dengan kata keling yang telah sedia wujud di dalam Kamus Dewan sejak edisi sulungnya yang terbit pada tahun 1970 lagi.

Walau bagaimanapun, dari segi pengolahan maknanya, ada perubahan dan pembaikan yang diusahakan oleh penyusun Kamus Dewan terhadap kata keling ini sesuai dengan unsur sejarah dan faktor sosiolinguistik kata ini.

Misalnya, daripada makna yang dirakamkan oleh KD 1989, 1994, secara tersurat, KD cuba mendidik masyarakat bahawa keling ialah kata yang kurang halus untuk digunakan, dan yang lebih halus digunakan ialah kata India, iaitu panggilan kepada orang India.

Perubahan terkini yang dilakukan terhadap entri keling ini, maklumat tentang penggunaan kata ini diberikan penekanan oleh KDP.

Dalam kamus terbitan terbaharu DBP ini, kata keling diberikan label penggunaannya sebagai tabu. Label tabu diberikan pada kata larangan dalam budaya sesuatu bangsa atau kaum.

Pada entri Keling, label tabu dibubuh pada makna 1, iaitu merujuk orang India dan dimasukkan dengan tujuan sebagai peringatan kepada pengguna kamus dan masyarakat penutur bahasa Melayu tentang penggunaannya.

Contoh yang lain, kata “anjing” diberikan label bahasa kasar untuk maksud memaki seseorang.

Kata “hamput” dan “sakai”, dalam KDP dibubuh label tabu yang dilarang penggunaannya tanpa maksud dan konteks yang sesuai.

Dengan kata lain, prinsip utama yang perlu dipatuhi ialah kata dan makna yang

dirakamkan dalam kamus harus menggambarkan penggunaan sebenar oleh masyarakat penuturnya.

Bagaimanapun, agar tidak menimbulkan pertikaian dalam kalangan pengguna, satu prinsip lagi yang dipatuhi pengamal perkamusan adalah dengan membubuh label tertentu pada kata atau makna yang berkenaan.

Dari segi penggunaan, kata tambi tidak mengandungi konotasi buruk maknanya. Tambi hanyalah kata panggilan bagi orang yang berpangkat adik dalam keluarganya.

Malah, dalam bahasa Tamil sendiri, kata ini digunakan secara leluasa oleh masyarakat India dan sesetengah kaum lain apabila menyapa atau memanggil anak lelaki India yang dirasakan lebih muda daripada mereka.

Pada tahun 2003, kata keling pernah menjadi isu mahkamah susulan adanya gugatan oleh sekumpulan aktivis masyarakat India yang menuntut agar entri keling ini dikeluarkan daripada Kamus Dewan.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penggunaan kata keling dibenarkan dalam Kamus Dewan kerana perakamannya tidak berniat jahat kepada mana-mana pihak dan DBP hanya melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai institusi bahasa.


Artikel ini kenyataan media Bahagian Komunikasi Korporat Dewan Bahasa dan Pustaka dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS