mk-logo
Berita
Kren runtuh: Prolintas akan beri kerjasama penuh pada pihak berkuasa
Diterbitkan:  Mar 22, 2021 11:06 PM
Dikemaskini: 3:06 PM

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta menambah baik proses dan pelaksanaan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) susulan insiden satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuhraya itu di Puncak Bayan, Persiaran Alam Damai, Cheras hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Prolintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata pihaknya mengambil berat aspek keselamatan memandangkan lebih 90 peratus jajaran Suke melibatkan kerja di tempat tinggi dan berada di atas jalan raya yang mempunyai trafik berkapasiti tinggi.

“Kami berusaha untuk bekerja sebagai satu pasukan dan objektif kami sangat jelas untuk memastikan projek ini dibina dengan cara yang paling selamat, siap tepat pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Prolintas, malam ini.

Menurut kenyataan itu, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd, selaku syarikat pemegang konsesi bagi projek pembinaan Lebuhraya Suke sentiasa mengambil langkah wajar untuk memastikan keselamatan pekerja dan orang awam dalam pembinaan lebuh raya yang dijadual siap akhir tahun ini.

Kenyataan itu menyebut Prolintas dan Suke juga secara konsisten mengingatkan kontraktor terlibat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengambil langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan.

“Antaranya dengan mengadakan sesi tool box atau taklimat keselamatan setiap hari sebelum memulakan tugas serta latihan penyelamat kecemasan bersama badan-badan keselamatan berkaitan secara berkala,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata pembinaan Suke melibatkan sembilan kontraktor utama di samping penglibatan secara menyeluruh jurutera perunding bebas dalam membuat reka bentuk, pengawasan dan penyeliaan daripada pelbagai aspek.

Prolintas juga mempunyai pasukan dalaman terdiri daripada jurutera berpengalaman bagi memantau kerja-kerja dilakukan kontraktor terlibat, selain mengadakan audit keselamatan mingguan bagi menilai kerja serta kepatuhan terhadap SOP keselamatan dan kesihatan.

Pembinaan Lebuhraya Suke sepanjang 24.4 kilometer bermula pada 29 Ogos 2016 dan sehingga kini telah mencapai kemajuan sebanyak 88.8 peratus.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi itu, tiga pekerja warga asing maut sementara seorang pemandu kenderaan cedera apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh serta menghempap sebuah kenderaan di kawasan pembinaan tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS