Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Keling': Aktivis nak heret DBP ke mahkamah jika tak mohon maaf

Tidak berpuas hati dengan definisi perkataan 'Tambi', seorang aktivis menuntut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memohon maaf kerana didakwa menghina masyarakat India di Malaysia.

Tuntutan itu dibuat oleh S Shankar Ganesh menerusi notis tuntutan yang disediakan oleh firma guaman K Ganesh & Associates, semalam.

Shankar berkata sekiranya DBP gagal memberikan sebarang maklum balas terhadap notis tuntutan itu dalam tempoh tujuh hari, pihaknya akan memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan di mahkamah.

Ketika dihubungi, Shankar berkata dia sangat tidak puas hati dengan penjelasan DBP yang mengatakan kamus dalam talian mereka tidak dinaik taraf dengan kamus versi baru sejak 2007.

"Jabatan itu menerima peruntukan berjuta-juta setiap tahun. Takkan tidak mencukupi tenaga pekerja untuk menambahbaikkan kamus dalam talian itu.

"Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka 'tutup mata' dan menggalakkan penggunaan perkataan 'Keling'.

"Maka, saya menggesa DBP meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana tidak sensitif dan cuba menjejaskan keharmonian di kalangan rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berkata demikian berikutan kecaman yang diterima DBP berhubung definisi perkataan 'tambi' dalam kamus dalam taliannya.

Kamus tersebut mentakrifkan perkataan 'tambi' sebagai "panggilan untuk orang Keling yang lebih muda daripada kita".

Tambi adalah perkataan bahasa Tamil yang bermaksud 'adik lelaki' dan digunakan secara ramah oleh masyarakat Melayu terhadap lelaki berbangsa India yang lebih muda.

Semalam DBP berkata akan menukar definisi perkataan 'tambi' dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), iaitu kamus dalam taliannya.

Menurut Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abg Shokeran, perkataan 'keling' yang digunakan akan digantikan dengan perkataan 'orang India'.

"Kamus dalam talian akan dikemas kini. Perkataan 'keling' dalam ayat itu akan diganti dengan kata 'orang India', seperti dalam kamus-kamus terkini DBP.

"Kamus dalam talian juga akan kami kemas kini," katanya.

Abang Sallehudiddin turut berkata PRPM adalah berdasarkan Kamus Pelajar terbitan tahun 1987 yang dikemas kini pada 2007 dengan hanya membuat penambahan entri sahaja.

Untuk rekod, perkataan 'keling' sering digunakan untuk merujuk masyarakat India di negara ini. 

Bagaimanapun masyarakat berkenaan menganggap istilah ini sebagai menunjukkan rasa tidak hormat kepada mereka.


Lihat Komen
ADS