Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes pengislaman anak sepihak: Hakim tarik diri kerana kenal pasangan

Seorang hakim Mahkamah Rayuan mengenali bekas pasangan suami isteri yang kini terlibat dalam kes perundangan berhubung penukaran agama sepihak dua anak mereka.

Oleh hal yang demikian, hakim Vazeer Alam Mydin Meera hari ini mengambil keputusan untuk menarik diri daripada pendengaran Mahkamah Rayuan membabitkan wanita mualaf dan seorang ayah beragama Buddha.

Hari ini sepatutnya merupakan tarikh pendengaran rayuan wanita berkenaan dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan bagi mengembalikan semula sijil masuk Islam dua anak mereka, yang kini di sekolah rendah.

Mereka membuat rayuan ke atas perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan si ayah untuk membatalkan sijil masuk Islam dua anak berkenaan.

Bagaimanapun, pendengaran hari ini ditangguhkan ke 29 Jun, ekoran penarikan diri Vazeer daripada urusan berkenaan.

“Saya harus menarik diri memandangkan pihak-pihak ini saya kenali,” kata Vazeer semasa prosiding di mahkamah terbuka pagi ini.

Dua lagi panel hakim Mahkamah Rayuan ialah hakim Lau Bee Lan dan Mohd Sofian Abd Razak.

Ketika ditemui selepas prosiding, peguam si ayah, K Shanmuga mengesahkan bahawa Vazeer menarik diri daripada kes itu.

Peguam itu mengesahkan bahawa panel Mahkamah Rayuan telah menangguhkan pendengaran hari ini ke 29 Jun.

Peguam wanita berkenaan Arham Rahimy Hariri turut mengesahkan bahawa Vazeer telah menarik diri.

Ini merupakan kali kedua prosiding rayuan kes itu menyaksikan salah seorang ahli panel hakim Mahkamah Rayuan menarik diri.

Pada 25 Jun 2019, hakim Mary Lim Thiam Suan menarik diri daripada panel, ekoran bantahan yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak.

Lim sebelum itu mengetuai rayuan bekas suami-isteri itu berhubung hak penjagaan kedua-dua anak mereka, di Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Persekutuan.

Pada 15 Januari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan oleh si ibu terhadap keputusan mahkamah rendah yang memberikan hak penjagaan kepada si ayah.

Akibatnya, pergulatan undang-undang utama kini berpusat pada pertikaian mengenai kesahihan sijil masuk Islam kedua-dua anak berkenaan.

Ekoran perintah mahkamah sedia ada, nama bekas pasangan suami-isteri dan anak-anak mereka tidak dibenarkan untuk disiarkan oleh pihak media.

Pada 14 Jun 2016, si ayah, yang merupakan seorang ahli perniagaan, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar penukaran agama kedua-dua anak oleh si ibu. Ketika itu, anak perempuan berusia lapan tahan dan anak lelaki pula berusia empat tahun.

Lelaki itu mahu mahkamah membatalkan sijil masuk Islam, dan perintah larangan bagi menghalang responden-responden atau ejen mereka daripada mendaftarkan anak-anak berkenaan sebagai Islam.

Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan cabaran undang-undang si ayah untuk membatalkan sijil masuk Islam kedua-dua anak tersebut.

Bekas isterinya dan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS