Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mais: Fatwa, enakmen S'gor larang agama bukan Islam guna kalimah ‘Allah’
Diterbitkan:  Mar 25, 2021 3:18 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menegaskan penggunaan kalimah Allah untuk perkara yang berkaitan dengan agama selain Islam di Selangor adalah bertentangan dengan undang-undang dan fatwa di negeri itu.

Menurut Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam kes rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia berhubung penggunaan kalimah Allah di Mahkamah Rayuan.

“Mais menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian di dalam Selangor.

“Mais berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah Allah merupakan suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang Islam.

“Justeru, kalimah tersebut tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama lain selain daripada agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz menegaskan bahawa menurut Seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988), mana-mana orang bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan Islam di dalam negeri Selangor adalah satu kesalahan.

“Adalah menjadi tanggungjawab Mais sebagai pihak berkuasa utama pentadbiran Islam di Selangor, selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, untuk memelihara dan menjaga kesucian agama Islam termasuklah menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang jika kalimah tersebut jelas menyalahi maksud Allah yang menjadi teras akidah dan kepercayaan orang Islam,” katanya.

Katanya lagi, fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan kalimah itu tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam lain dan wajib bagi orang Islam untuk menyekat penggunaannya jika terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan.

“Justeru, Mais menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dalam penerbitan agama Kristian kerana ia boleh membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan atau mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam khususnya di Selangor,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nor Bee Ariffin memutuskan kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah "Allah" - istilah Arab yang bermaksud Tuhan - pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Lihat Komen
ADS