Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukit Aman gagalkan cubaan lelaki nak tikam Dr M, menteri PH pada 2020
Diterbitkan:  Mar 25, 2021 5:40 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Cawangan Khas Counter Terorisme (E8) Bukit Aman menahan seorang lelaki yang mengaku merancang untuk melakukan serangan ke atas beberapa pemimpin utama kerajaan sebelum ini.

Menurut Penolong Pengarah E8, Azman Omar, lelaki terbabit ditangkap pada Jan 2020 dan mengaku bercadang mahu menyerang Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng, Mujahid Yusof dan Tommy Thomas.

Mahathir merupakan perdana menteri ketika itu manakala Lim berkhidmat sebagai menteri kewangan, Mujahid menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Thomas mengetuai Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun semua mereka kemudian tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan ekoran berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan pada penghujung Feb 2020.

Kata Azman lelaki berkenaan mahu melancarkan serangan untuk menunjukkan sokongannya kepada kumpulan pengganas IS.

"Pada 6 hingga 7 Jan 2020, kami menangkap seorang lelaki tempatan... bersama lima yang lain ekoran pembabitan mereka menghasilkan video propaganda IS dan ancaman bunuh ke atas pemimpin negara.

"Semasa siasatan, (lelaki terbabit) mengaku dia berniat untuk melancarkan serangan bersendirian ke atas beberapa pemimpin kerajaan dengan menikam mereka menggunakan pisau atau objek tajam sebagai tanda menyokong IS," katanya dalam satu perbincangan secara dalam talian hari ini.

Ia bertajuk Islam, Radikalisme dan Ekstremisme Semasa Pandemik dan dianjurkan Institut Kajian Lanjutan Islam Malaysia.

Kata Azman juga sepanjang tahun lalu seramai tujuh individu ditangkap oleh E8 dan lelaki terbabit adalah seorang daripada mereka.

Sebagai perbandingan katanya pada 2019 E8 membuat 72 tangkapan dan 119 pada 2018.

Namun katanya penurunan ketara tangkapan itu bukanlah bermakna ancaman keganasan di rantau itu berkurangan.

"Perintah kawalan pergerakan berkaitan koronavirus banyak memberi kesan kepada semua orang termasuk pihak yang bersimpati atau penyokong kumpulan IS," katanya.

Tambah Azman E8 turut menahan seorang lelaki Malaysia yang bekerja di Singapura pada Ogos 2020 dengan bantuan pihak berkuasa Singapura.

"Lelaki itu terbabit membiayai kegiatan militan dan turut merancang untuk pergi ke Syria bagi menyertai IS," katanya.

[Baca berita asal]

ADS