story image
mk-logo
Berita
Ekzos ‘aftermarket’ pun salah, kata polis

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa penggunaan semua ekzos “aftermarket” (bukan daripada pengeluar asal) adalah salah di sisi undang-undang.

Kata JSPT dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini, setiap pengubahsuaian kenderaan termasuk ekzos adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Kaedah 9A LN 170/59 - Kaedah-kaedah kenderaan bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.

Pengubahsuai itu haruslah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada ketua pengarah Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ).

JSPT merujuk Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987, berbunyi:

“Tertakluk kepada seksyen ini, adalah tidak sah di sisi undang-undang untuk mengubah sesuatu kenderaan motor hingga menjadikan sebegitu keadaannya yang mana penggunaannya dalam keadaan tersebut menjadi tidak sah di sisi undang-undang menurut seksyen ini.”

Seksyen 6 akta itu menggariskan mengenai “larangan bagi kenderaan-kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah-kaedah”.

Kaedah yang dimaksudkan dalam seksyen berkenaan ialah Kaedah 9A LN 170/59 - Kaedah-kaedah kenderaan bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 di mana setiap pembinaan kenderaan motor hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Berdasarkan peraturan tersebut, kata JSPT, penggunaan ekzos aftermarket adalah salah kerana dianggap mengubah suai tanpa mendapat kelulusan ketua pengarah JPJ.

Oleh hal yang demikian, JSPT mengesahkan bahawa semua ekzos yang bukan daripada pengeluar asal, tidak boleh digunakan.

JSPT diminta mengulas mengenai satu hantaran tular di Facebook.

Berdasarkan hantaran berkenaan, seorang pengguna motosikal meluahkan rasa berang apabila disaman pihak polis kerana ekzos aftermarket yang dipasang pada motosikalnya.

Dia ditahan dalam satu sekatan jalan di Plaza Tol Sungai Dua, Butterwoth, Pulau Pinang, di laluan motosikal.

Menurutnya, dia disaman atas kesalahan mengubah suai ekzos, meskipun, katanya, ekzosnya itu didapati tidak melebihi had bunyi maksimum yang ditetapkan iaitu 95dB, setelah membuat ujian bunyi oleh Jabatan Alam Sekitar di tempat yang disediakan.

Pun begitu, katanya, dia dimaklumkan anggota polis bahawa dia tetap melakukan kesalahan kerana mengubah suai ekzos.

“Jadi, adakah membeli ekzos aftermarket salah di sisi undang-undang? Apa cerita ni?” soal pemuda itu.

Setakat berita ini ditulis, hantaran itu telah mendapat 3,600 komen, dan dikongsikan sebanyak 2,300 kali.

Mengulas hantaran berkenaan, menurut JSPT, tahap bunyi dan pengubahsuaian ekzos adalah dua isu yang berbeza.

Sementara tahap bunyi ditentukan oleh alat pengukuran bunyi khas dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), kesalahan ubah suai ekzos adalah tertakluk kepada akta dan kaedah yang dinyatakan tadi.

Polis sita, JAS uji

Ketika diminta mengulas mengenai ujian bunyi pada sekatan jalan, JAS menjelaskan bahawa jabatan itu mengeluarkan kompaun dan notis arahan berdasarkan kepada keputusan ujian bunyi bising yang dibuat ke atas motosikal.

Sementara pengeluaran saman dibuat oleh polis trafik berdasarkan kepada kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semua motosikal yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya pengubahsuaian pada ekzos motosikal, pihak penguat kuasa polis akan menahan dan menyita motosikal berkenaan serta tindakan penguatkuasaan bawah bidang kuasa PDRM.

“Selepas itu, motosikal berkenaan akan diserahkan kepada pegawai JAS untuk dijalankan pengujian paras bunyi mengikut kaedah ujian sepertimana yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini.

Gambar hiasan

Tambah JAS, sekiranya melebihi had bunyi yang ditetapkan, JAS akan mengeluarkan tawaran kompaun dan notis arahan untuk pengujian semula kepada pemilik motosikal.

Notis itu adalah supaya mereka menukarkan semula ekzos berkenaan kepada ekzos berspesifikasi asal daripada pengilang mengikut model motosikal berkenaan, dan mereka diarahkan untuk membuat pengujian semula di pejabat JAS.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987, paras bunyi maksimum standard A yang dibenarkan untuk kenderaan motor dua roda atau tiga roda adalah tidak melebihi 95dB bagi 125cc ke bawah, dan tidak melebihi 99dB bagi 125cc ke atas.

Untuk standard B pula, kenderaan motor dua roda atau tiga roda adalah tidak boleh melebihi 92dB untuk 90cc ke bawah, dan tidak melebihi 95dB untuk 90cc ke atas.

Peratusan itu menggariskan Standard B untuk kenderaan yang dikilang atau dipasang pada atau selepas 1 Januari 1990.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS