Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li tak tandatangan SD sokong Muhyiddin kerana hormat perlembagaan

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan dia tidak menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kerana menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya Yang di-Pertuan Agong berhak untuk memilih perdana menteri yang difikirkannya mempunyai sokongan di Dewan Rakyat.

Namun, katanya, jika pilihan baginda tidak tepat ia boleh diuji di Dewan Rakyat sama ada perdana menteri itu mendapat sokongan majoriti daripada ahli parlimen atau sebaliknya.

"Saya rasa salah kalau kita tandatangan SD sebab Yang di-Pertuan Agong bukan mengharap kita menandatanganinya.

“SD boleh jadi dipaksa... dipaksa oleh parti, dipaksa oleh lawan, dipaksa oleh sesiapa, (atau) diugut misalnya, diancam untuk menandatangani SD.

"Yang dkehendaki Parlimen ialah kita undi di Dewan Rakyat dengan terang, dengan ikhlas hati. Itu yang dikehendaki perlembagaan.

"Itu sebab saya tak tandatangani SD (untuk menyokong sesiapa), saya rasa salah (kalau) tandatangan SD. Saya berpegang kepada perlembagaan," katanya dalam wawancara bersama portal berita Malaysiapost, malam tadi.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh ataupun Ku Li antara pemimpin Umno yang lantang mahukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibentang di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan kedudukan presiden Bersatu itu mendapat sokongan majoriti.

Pada 23 Nov lalu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan semua ahli parlimen telah diberikan “surat "cinta” daripada Ahli Parlimen Gua Musa itu yang mengajak mereka supaya menyokong isu "undi tidak percaya" kepada Muhyiddin.

Bagaimanapun baru-baru ini Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Tengku Razaleigh satu-satunya pemimpin Umno yang tidak menandatangani SD sokongan terhadap Muhyiddin.

Dalam pada itu Ku Li berkata dia tidak menandatangani SD kerana menghormati Perlembagaan negara.

Jelasnya desakannya supaya undi tidak percaya diadakan kerana ingin menguji kedudukan perdana menteri sama ada "laku" atau pun tidak di Parlimen.

"Kalau dia (Muhyiddin) ‘laku’ dan dapat sokongan sebagaimana yang didakwa, dia boleh hadapinya di Dewan Rakyat untuk kita undi.

“Kalau dia lulus ‘ujian’ itu dan dapat sokongan lebih daripada 112 teruskan saya tiada halangan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kritikannya yang melabelkan PAS sebagai "pelacur politik", Ku Li berkata sebenarnya dia tidak pernah melabelkan parti berkenaan sebegitu.

Sebaliknya kata pengersui Jemaah Penasihat Umno itu orang ramai mula menganggap PAS sedemikian apabila parti terbabit turut menjalin kerjasama dengan PN ketika mereka terikat dengan piagam Muafakat Nasional.

"Saya tak kata...(tapi) ada orang yang bercakap, menggelar (dan) mengata kepada PAS," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS