Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggapan 18 tahun belum matang pandangan ketinggalan zaman

Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno berpendapat pandangan yang menganggap warganegara Malaysia berusia 18 tahun belum matang untuk jadi pengundi adalah ketinggalan zaman dan "usang."

Kata Reezal Merican Naina Merican menurut undang-undang dan perlembagaan seseorang yang berusia 18 tahun sudah dianggap dewasa dan boleh diberi kepercayaan termasuk layak menandatangani sesuatu kontrak.

Justeru katanya pendapat yang menganggap individu berusia 18 tahun belum cukup matang bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam perlembagaan serta undang-undang.

Ketika pada satu sisi warganegara berusia 18 tahun bertanggungjawab pada undang-undang, katanya Reezal Merican, tapi pada sisi lain mereka tidak dinafikan hak paling asas dalam demokrasi iaitu menjadi pengundi.

"Maka kalau ada pandangan yang berkata mereka (warganegara berusia 18 tahun) tak matang, pada saya itu adalah pandangan yang usang dan mungkin ketinggalan zaman," katanya semasa ditemui media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. 

Rang undang-undang membenarkan warganegara Malaysi yang berusia 18 tahun menjadi pengundi diluluskan pada 25 Julai 2019 dan disokong semua 211 ahli parlimen yang hadir ketika itu.

Ia kemudian diluluskan Dewan Negara 10 hari kemudian.

Bagaimanapun ketika PRU dijangka bakal diadakan seawal hujung tahun ini, kelmarin Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan pelaksanaan pembaharuan itu hanya akan dapat dilakukan selepas Sept 2022.

Tak patut dilewatkan

Semalam Presiden PAS Abdul Hadi Awang secara tegas menyokong langkah SPR itu dan menganggap tindakan memberikan hak mengundi kepada individu berusia 18 tahun adalah meniru budaya barat.

Kata Abdul Hadi bukan semua orang boleh menjadi matang apabila mencecah usia 18 tahun.

Sebelum pindaan perlembagaan itu dibuat, usia minimum untuk menjadi pengundi atau calon pilihan raya ialah 21 tahun.

Reezal Merican berkata ada empat perubahan yang dibuat berkenaan pindaan perlembagaan bagi membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun menjadi pengundi.

Pertama katanya menurunkan had umur pengundi, diikuti membenarkan seseorang warganegara berusia 18 tahun menjadi calon parlimen atau dewan undangan negeri.

Yang keempat kata menteri belia dan sukan itu ialah melaksanakan pendaftaran automatik.

"Kalau proses pendaftaran ada kekangan, lakukan apa yang boleh. Sekurang-kurangnya buka ruang penyertaan demokrasi untuk generasi muda sebab pindaan perlembagaan itu sudah dipersetujui oleh 211 ahli parlimen.

"Tidak patut pelaksanaannya dilewatkan hanya kerana ada satu faktor tidak dapat diselesaikan," katanya.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan
Lihat Komen
ADS