Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semua kerusi yang melompat pasti kita ambil semula'
Diterbitkan:  Mar 28, 2021 10:21 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

Umno hampir pasti akan bertanding semula di semua kerusi parti itu yang kini menjadi milik Bersatu selepas pemenangnya melompat, kata Ahmad Maslan.

Menurut setiausaha agung Umno itu selaku parti paling besar di negara ini dengan jumlah keahlian lebih 3.3 juta ahli, Umno akan bertanding di banyak kerusi.

Semasa membentangkan laporan status semasa keanggotaan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini Ahmad berkata parti itu perlu bersiap untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) tanpa mengira bila ianya akan diadakan.

"Biasanya lepas tiga tahun daripada tarikh satu-satu pilihan raya, parti mesti menumpukan perhatian untuk satu lagi pilihan raya.

"Tarikh tiga tahun ini hanya sebulan sebelas hari sahaja lagi iaitu pada 9 Mei 2021," katanya.

Justeru kata Ahmad Umno akan bertanding di banyak kerusi dan yakin akan memenanginya.

"Semua kerusi yang melompat pasti kita akan ambil semula," katanya.

Untuk rekod 13 daripada kerusi yang dimenangi Umno dibawa lari oleh pemenangnya apabila mereka menyertai Bersatu - pimpinan Muhyiddin Yassin - selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat.

Ia menimbulkan kemarahan Umno dan krisis itu diburukkan lagi apabila Muhyiddin menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada akhir Feb tahun lalu.

Isu perebutan 13 kerusi ini juga telah menyebabkan hubungan Umno dengan Bersatu berantakan.

Bagaimanapun pada 14 Mac lalu media melaporkan PN mengajak Umno untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi yang menjadi salah satu punca keretakan dalam kerjasama parti tersebut.

Menurut Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin Ali, Umno tidak seharusnya memusnahkan kerajaan yang dibina bersama sejak setahun lalu.

“Hanya 13 kerusi yang menjadi pertikaian. Yang dikatakan mereka menang atas tiket parti lain (Umno) dan kemudian mereka pindah ke parti lain (Bersatu).

“Tetapi pertanyaan saya ialah apakah dengan 13 kerusi ini kita mahu musnahkan 222 kerusi lagi?" kata Azmin.

Menurut Ahmad, Umno kekal sebagai parti yang paling besar dengan jumlah keahlian paling ramai di negara ini dengan lebih 3.3 juta keahlian.

"Umno kini mencatatkan 3,359.368 ahli dengan jumlah cawangan lebih 21,0000 dan 191 bahagian.

"Umno masih kekal sebagai parti politik yang tersebar dengan ahli yang paling ramai.

"Paling ramai keahlian Umno direkodkan di Sabah dengan lebih 580,000 ahli, kemudiannya diikuti Johor,451,000 ahli," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS