Senarai nama tujuh orang calon yang diedarkan sebelum berlangsung pemilihan perwakilan Umno Kubang Pasu Sabtu lalu adalah calon yang direstui oleh pucuk pimpinan bahagian berkenaan.

Senarai calon tersebut tidak termasuk nama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Mukhriz yang juga Exco Pemuda Umno pusat dan ahli jawatankuasa bahagian Kubang Pasu.

Bagaimanapun, Mukhriz yang mendapat 298 undi berjaya dipilih bersama enam lagi calon yang direstui Umno bahagian berkenaan. Dr Mahathir hanya memperolehi 227 undi di tangga kesembilan.

Ini disahkan oleh Setiausaha Umno bahagian Kubang Pasu, Samsuddin Ahmad ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, jelasnya, sebagai parti yang mengamalkan prinsip demokrasi, Umno bahagian Kubang Pasu menghormati dan menerima kemenangan Mukriz.

"Senarai nama yang perlu dipilih itu telah diedarkan kepada para perwakilan di Kelab Golf Darul Aman, Jitra pada malam Jumaat lalu, atas kebenaran Umno bahagian.

"Kami tidak menganggap pengedaran senarai nama tersebut sebagai salah kerana ia merupakan amalan biasa dan berlaku dalam mana-mana pertandingan Umno termasuk di peringkat Majlis Tertinggi (MT)," katanya.

Dakwaan Dr Mahathir

Samsuddin berkata demikian sebagai menjawab dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno bahagian Kubang Pasu telah menetapkan senarai calon tertentu untuk dipilih dalam pemilihan tersebut.

Enam calon pilihan bahagian yang terpilih ialah Ahmad Hamid yang mendapat 317 undi, Samsuddin Ahmad (311), Mohd Fadzli Abdul Halim (296), Shuib Din (293), Zulkifli Yaakob (286) dan Abdul Manaf Kecik (270).

Berikutan itu, bekas Perdana Menteri itu mendakwa kekalahannya adalah disebabkan oleh politik wang di mana menurutnya perwakilan diberi RM200 seorang supaya memilih calon yang ditetapkan.

Samsuddin bagaimanapun, menafikan yang Umno bahagian Kubang Pasu ada membahagikan wang kepada para perwakilan bagi mempengaruhi keputusan pengundian pada hari itu.

Bagaimanapun, beliau mengaku Umno bahagian telah mengadakan satu perjumpaan dengan ketua-ketua zon selepas majlis taklimat di Kelab Golf Darul Aman, pada malam Jumaat lalu.

"Ini perjumpaan biasa tetapi saya ingin menegaskan bahawa Umno bahagian tidak pernah memberi wang ringgit kepada perwakilan terbabit," katanya.

Perjumpaan tersebut telah dihadiri oleh Ketua Umno bahagian Kubang Pasu Datuk Johari Baharum, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff dan bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Datuk Saad Man.

Elak perpecahan

Dalam perjumpaan tersebut mereka meminta para perwakilan supaya jangan mengundi Dr Mahathir bagi mengelak berlaku perpecahan dalam Umno.

Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa perjumpaan itu diadakan bertujuan untuk membolehkan Umno bahagian memberi RM200 seorang kepada setiap perwakilan supaya mengundi calon yang telah ditetapkan.

Berikutan itu, Samsuddin menasihatkan pihak yang mempunyai bukti mengenai dakwaan tersebut supaya melaporkan kepada Umno bahagian supaya satu siasatan terperinci dapat dijalankan.

"Kami akan menyiasatnya...tetapi apa yang sering berlaku ialah orang yang kalah akan membuat pelbagai cerita," katanya lagi.

Samsuddin berkata, pihaknya sudah berkali-kali menasihatkan Dr Mahathir supaya menarik diri dari pertandingan tersebut kerana tindakannya tidak direstui oleh ahli Umno.

Walaupun begitu, katanya, hubungan Umno bahagian Kubang Pasu dengan bekas Perdana Menteri itu tetap baik walaupun beliau tidak dipilih sebagai perwakilan Umno bahagian ke perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur November depan.