Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita dakwa anggota polis buat gangguan seksual

Kemas kini: Kenyataan Ketua Polis Daerah Putrajaya berkenaan siasatan terhadap kedua-dua laporan yang dibuat.

Seorang wanita semalam membuat hantaran di media sosial mendakwa seorang anggota polis melakukan gangguan seksual terhadapnya ketika melalui sekatan jalan raya di Putrajaya.

Pun begitu, anggota polis terbabit telah menafikan tuduhan wanita itu.

Pada kicauan di akaun Twitternya, wanita itu berkata dia melalui sekatan jalan raya ketika keluar dari Putrajaya menuju Lebuh raya Damansara-Puchong/ Lebuh raya Lembah Klang Selatan sekitar jam 9.05 pagi.

Ketika itu, dia mendakwa telah dihentikan oleh seorang polis yang bertanya kepadanya tentang perjalanannya.

Dia kemudian memberitahu anggota polis itu bahawa dia sedang menghantar produk susu yang dihasilkan oleh syarikat milik pelakon Neelofa.

Pada saat itu, polis berkenaan didakwa membuat pernyataan lucah.

Wanita itu berkata: "Saya beritahu dia, saya nak pergi hantar susu Neelofa. Dan kemudian dia berkata, "kamu perah sendiri ke susu tu?"

Malaysiakini tidak mendedahkan nama dan akaun Twitter wanita berkenaan berdasarkan polisi kami mengenai jenayah seksual.

Wanita itu juga mendakwa seorang lagi anggota polis dan anggota tentera lain yang berada di sekatan jalan itu ketawa apabila mendengar perkataan rakannya itu.

"Dan macam bodoh tak bertamadun, askar dengan polis trafik kat situ bantai gelak. 

"Saya pakai tudung labuh dan diganggu secara seksual. Ini bukanlah satu hal yang menyenangkan," dakwanya.

Kicauannya telah diciap ulang lebih 4,400 kali pada malam tadi. Dia berkata dirinya patut membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Ketika dihubungi malam tadi, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Fadzil Ali berkata anggota polis terbabit telah membuat laporan terhadap wanita itu kerana memfitnah.

Menurut Fadzil, anggota polis berkenaan juga telah menafikan tuduhan wanita itu.

"Kes ini disiasat bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Putrajaya Mohd Fadzil Ali mengesahkan menerima laporan wanita itu.

Mohd Fadzil berkata siasatan awal telah dibuat dan anggota polis terlibat menafikan mengeluarkan perkataan yang tidak sopan ketika menyoal wanita itu.

"Sebaliknya, dia bertanyakan berkenaan produk susu tersebut dengan ayat 'you buat sendiri ke susu tu?'.

"Petugas lain termasuk pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di lokasi kejadian juga telah disiasat dan menafikan berlakunya gangguan seksual sebagaimana dakwaan wanita tersebut," katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, kertas siasatan telah dibuka untuk menyiasat kedua-dua laporan yang dibuat.

Baca respons penuh polis di sini.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS