Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kemahuan letak jawatan serta-merta pandangan peribadi Ku Li'

Tidak nampak ada tanda akur sepenuhnya kepada gesaan Tengku Razaleigh Hamzah agar semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meletak jawatan serta-merta apabila usul kerjasama dengan Bersatu disahkan perwakilan hari ini.

Malah salah seorang daripada menteri itu menganggap pandangan pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu menyalahi ketetapan yang diambil parti.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata sama seperti dirinya, Tengku Razaleigh hanyalah ketua bahagian. Namun katanya walaupun berhak memberi pandangan ia tetap bersifat peribadi.

Menurutnya lagi buat masa ini tidak berbangkit isu meletak jawatan serta-merta terutama apabila ia tidak pernah menjadi keputusan parti setakat ini.

"Malah keputusan parti pada masa ini adalah untuk kita terus berada dalam kerajaan sehingga palimen dibubarkan.

"Sepatutnya Ku Li yang bercakap bercanggah dengan keputusan parti. Itu satu kesalahan," katanya.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah pula berkata dia sedia meletakkan jawatan jika memang itu yang diputuskan Umno.

Katanya sebagai ahli parti dia akan setia dan patuh dengan apa sahaja keputusan dibuat Umno termasuk meletak jawatan sebagai menteri dalam kerajaan PN.

Shamsul Anuar Nasarah

"Sebagai pemimpin saya akan terus taat setia dan patuh dengan keputusan Umno selagi parti meletakkan kepentingan rakyat, bangsa Melayu dan Islam di hadapan," katanya.

Menurut ahli parlimen Lenggong itu sebagai pemimpin dia tidak boleh meletakkan kepentingan diri melebih orang ramai untuk menunjukkan Umno parti yang berpegang kepada prinsip.

Macam kerajaan masak-masak

"Jadi apa juga keputusan dibuat oleh parti sebagai pemimpin kita kena akur.

"Bagaimanapun, ketika ini parti belum membuat sebarang keputusan muktamad dan perbahasan usul masih lagi berlangsung sekarang," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican juga berpendapat kenyataan Tengku Razaleigh sebagai pandangan peribadi namun pendirian parti ialah semua ahli parlimen yang ada dalam kerajaan akan kekal begitu sehingga parlimen dibubarkan.

"Saya orang yang taat kepada parti, saya akan patuh kepada keputusan parti," katanya.

Sementara itu bekas menteri Shahrir Samad memuji keterbukaan Shamsul Anuar dan menganggap ia adalah tindakan yang patut dibuat oleh ahli parlimen Umno sekarang.

Bekas ahli parlimen Johor Bahru itu juga bertanya apakah faedah yang ada apabila pemimpin Umno terus berada dalam kabinet Muhyiddin Yassin yang dianggapnya "memandulkan parlimen" serta mengabaikan titah Yang di-Pertuan Agong berkenaan sidang Dewan Rakyat. 

"Kerana itu, apa faedahnya pemimpin-pemimpin Umno kekal dalam kerajaan PN yang bersifat seperti seolah semacam kerajaan main masak-masak ini?

"Jadi, baik juga kenyataan Shamsul Anuar sebagai menyambut pandangan Tengku Razaleigh," katanya.

  • Laporan bersama Kow Gah Chie, Haspaizi Zain, Ng Xiang Yi, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan 

Lihat Komen
ADS