Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak wajar Zahid cabar letak jawatan menteri, kata Annuar
Diterbitkan:  Mar 28, 2021 11:57 PM
Dikemaskini: 4:04 PM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar mencabar sesiapa dalam Umno untuk meletakkan jawatan sebagai menteri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Meskipun Zahid tidak menyebut sebarang nama, Annuar dalam satu wawancara yang disiarkan di Facebooknya berkata kenyataan itu jelas ditujukan kepadanya.

"Saya jujur, saya kata tidak wajar presiden mencabar sesiapa.

"Kalau kita galakkan budaya cabar-mencabar dalam parti, apa kata kalau orang lain pula cabar presiden?" soalnya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dia sebelum ini tidak bersetuju Zahid dicabar meletakkan jawatan sebagai presiden Umno setelah diheret ke mahkamah.

"Saya tampil, dalam masa seminggu lepas saya dipecat (sebagai setiausaha agung BN), saya buat pendirian tidak setuju menekan presiden untuk letak jawatan.

"Kita kena tanam hormat pada institusi presiden, bukan batang tubuh presiden. Institusi presiden kata perlembagaan mesti dipilih oleh ahli dan berkhidmat untuk tempoh tiga tahun.

"Yang bermasalah itu mungkin body presiden. Kalau kita suruh presiden berhenti sebelum tempoh habis, apa lagi tahun ini tahun terakhir, kita tidak menghormati institusi presiden," kata Annuar .

Beza setia kepada individu dan parti

Annuar berkata kritikan terhadap batang tubuh presiden itu tidak seharusnya dilihat sebagai usaha 'menikam' Umno.

"Tak setia pada parti berbeza, tak setia pada individu berbeza. Bukan bermakna setia pada parti mesti semua ikut individu. Tidak. Kalau begitu, demokrasi akan mati dalam parti kita.

"Kita dah kata akan kekal dalam kerajaan sehingga PRU, maka menteri-menteri kekallah di situ. Kenapa pula nak cabar menteri suruh berhenti?" katanya.

'Jarang di PAU bantai kawan sendiri'

Annuar dalam pada itu memuji ucapan penggulungan oleh timbalan presiden Umno, Mohamad Hassan, yang disifatkan berbeza dengan ucapan penggulungan presiden.

"Tapi Tok Mat mesej sampai.

"Apa lagi disebut Tok Mat? Kalau betul nak tetap tarikh (putus kerjasama dengan Bersatu), bagus. Tapi sampai tarikh (jangan pula) silat pulut.

"Saya tengok cara penggulungan begitu walaupun nampak bersahaja, pendek.

"Satu penggulungan lagi saya nampak, orang nampak macam angry man. 

"Saya jarang nampak di PAU orang bantai kawan sendiri, dengan isteri jangan marah lebih, nanti rujuk balik," katanya.

Mempertahankan pendiriannya agar Umno bekerjasama dengan Bersatu, Annuar berkata ia merupakan pendapat peribadinya bahawa semua parti berasaskan Melayu harus bersatu.

Bagaimanapun katanya, dia akan menerima ketetapan yang telah dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno.

Terdahulu, Perhimpunan Agung Umno hari ini memberikan mandat kepada Zahid dan majlis tertinggi parti itu untuk menentukan tarikh yang tepat untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Umno sebelum ini menyatakan parti itu akan kekal dalam kerajaan sehingga parlimen dibubarkan.

Mohamad dalam ucapan penggulungannya memberi bayangan parti itu akan menarik diri daripada PN pada Ogos iaitu pada tarikh pelaksanaan darurat dijangka tamat.

Kata Mohamad dalam isu kerjasama dengan PN dan Bersatu, Umno perlu dilihat serius dengan mengotakan setiap apa yang dilafazkan dan bukan hanya "bersilat pulut".

Lihat Komen
ADS