Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Hampir enam jam pengsan akibat lemas, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terselamat dan ditemukan dalam keadaan terapung di Pantai Kandis, Bachok, Kelantan, semalam.

Mangsa, Mohd Aman Firaz Aman Shah, ditemui seorang nelayan yang juga menyertai operasi mencari dan menyelamat kira-kira jam 10.45 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata kanak-kanak tersebut bernasib baik kerana kepalanya tidak tenggelam walaupun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Ketika dijumpai nelayan, kepala mangsa terapung dan tidak tenggelam. Nelayan tersebut terus menyelamatkannya dan mangsa sedar sejurus dibawa ke darat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Sementara itu Yus Heary berkata, dua lagi mangsa Mohd Sahudin Mat Shah, 46 dan Junairohafizan Juhari, 35, disahkan meninggal dunia.

Katanya, mayat mereka masing-masing dijumpai pasukan penyelamat pada jam 7.20 malam dan jam 2.50 pagi tadi.

"Kejadian bermula apabila ketiga-tiga mereka mandi di pantai dan Mohd Aman Firaz dihanyutkan arus.

"Susulan itu Mohd Sahudin dan Junairohafizan dikatakan cuba menyelamatkan kanak-kanak tersebut, namun tidak berjaya," jelasnya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada jam 3.32 pagi selepas kesemua mangsa dijumpai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok ASP Mohd Yusrizal Mohd Ghazali pula memaklumkan Muhammad Aman dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan.

"Mangsa yang lemas pula dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS