Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis soal siasat 11 penganjur, peserta demo Undi18 esok

Polis akan merakamkan kenyataan sekurang-kurangnya 11 penganjur dan peserta tunjuk perasaan Undi18 di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur esok.

Demonstarsi Undi18 itu diadakan di luar bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu.

Menurut sumber, 11 individu itu termasuk Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Abdul Hadi, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, peguam dan aktivis Ambiga Sreenevasan, dan naib presiden PKR Tian Chua.

Nama lain adalah Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Adun Ketari Young Syefura, Ketua Pemuda DAP Howard Lee, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Shazni Munir Mohd Ithnin, ahli jawatankuasa pusat PSM Sharan Raj dan ahli jawatankuasa pemuda PSM SK Arveent.

Difahamkan, semua mereka mendapat panggilan dari polis untuk datang ke balai polis esok.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa polis juga akan menyoal siasat beberapa peserta perhimpunan, esok.

"Ya, mereka akan datang esok," katanya ketika dihubungi.

Zainal menambah bahawa penganjur perhimpunan tidak menyerahkan notis kepada polis sebelum mengadakan tunjuk perasaan.

Pada 27 Mac, Zainal juga dilihat memantau bantahan lebih 100 peserta perhimpunan.

Dia berkata, bahwa para peserta juga akan disiasat mengikut Peraturan 11, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Perintah Pengendalian Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Dipimpin oleh Amir, tunjuk perasaan itu berarak dari Padang Merbok dan kemudian membuat bantahan secara duduk beberapa ratus meter dari pintu parlimen.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS