Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: 'Tunai itu raja' - polis pun boleh tolong penjenayah lari
Diterbitkan:  Apr 1, 2021 5:58 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menempelak pelaku rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia, menyatakan rasa kurang senangnya terhadap budaya 'tunai itu raja' (cash is king).

Presiden parti Pejuang itu mengambil maklum kekesalan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang mengadu anggota pasukan itu berusubahat dengan penjenayah.

"Ayuh semua orang, guna cash. Kamu selamat.

"Kata IGP penjenayah ditolong oleh orang termasuk polis supaya lari. Selamat diri.

"Kuasa cash la tu! Ada cash semua boleh. Malaysia boleh – Boleh apa? Boleh buat apa sahaja jika ada cash – termasuk menyamun," perlinya pada satu hantaran blog hari ini.

Pada 30 Mac lalu, Abdul Hamid mendedahkan seramai 34 pegawai dan anggota penguatkuasa terlibat sebagai ahli Geng Nicky, kumpulan yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow Soon Hee.

Ketua polis itu juga mendedahkan berlaku kebocoran maklumat semasa operasi memburu Nicky yang juga ketua sindikiet pengubahan wang haram terbesar di negara ini.

Ini menyebabkan Nicky didakwa sempat lolos bersama lapan beg dipercayai berisi wang tunai.

Menurut Abdul Hamid, mereka yang membocorkan maklumat berkenaan adalah daripada kalangan pegawai dan anggota polis sendiri.

Untuk rekod, Dr Mahathir mempopularkan frasa "cash is king" ketika mengkritik pentadbiran Najib Razak pada 2015 yang didakwa meraih sokongan dengan pemberian tunai.

Slogan "Malaysia Boleh" pula diperkenalkan Mahathir ketika menjadi perdana menteri kali pertama dari 1981 ke 2003.

Lihat Komen
ADS