Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan jangka gaji permulaan siswazah naik menjelang pertengahan tahun ini

Kerajaan menjangkakan gaji permulaan bagi siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan akan lebih tinggi menjelang pertengahan tahun ini berikutan ekonomi dilihat semakin pulih dalam tiga ke empat bulan akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed bagaimanapun mengakui gaji diterima lulusan universiti tahun lepas jauh lebih rendah susulan penularan pandemik Covid-19 sehingga memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi negara dan global.

“Tahun lepas kita mengalami kemelesetan ekonomi paling teruk dalam sejarah dalam beberapa suku, jadi permintaan (peluang kerja) itu rendah dan sudah pasti para siswazah sanggup untuk menerima gaji lebih rendah daripada biasa.

“Kita nak rakyat Malaysia menikmati upah gaji yang lebih tinggi, menjadi satu masalah apabila gaji permulaan siswazah tidak meningkat dah 10 ke 20 tahun,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek tanaman halia muda di Felda Raja Muda Alias 1 di Jempol, hari ini.

Justeru, katanya, menjadi hasrat kerajaan untuk mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang lebih berkualiti sekali gus para siswazah yang baru mula bekerja akan menikmati gaji yang lebih tinggi.

Dua hari lepas, portal tempatan melaporkan Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata majoriti siswazah memasuki pasaran pekerjaan tahun lepas menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada tahun 2019.

Mohd Uzir berkata jumlah lulusan universiti yang memasuki alam pekerjaan tahun lepas juga merosot, begitu juga kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan siswazah muda.

Sementara itu, Mustapa berkata sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan bagi projek penanaman halia muda di wilayah Felda Raja Alias, daripada RM100 juta yang diperuntukkan kerajaan melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP) kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tahun ini.

Projek yang mendapat kerjasama Agrobank itu bertujuan meningkatkan pendapatan warga peneroka sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import halia muda dari negara luar termasuk China.

“Kita import halia muda bernilai RM200 juta setahun dari negara luar...Jadi selari dengan hasrat kerajaan untuk kurangkan import dan tambah jaminan bekalan makanan, kami galakkan petani untuk hasilkan tanaman halia yang mempunyai potensi cukup baik dalam pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, dia berkata setakat ini sebanyak 132 projek telah diluluskan Felda melalui PPP dengan 63 projek diusahakan individu manakala 69 lagi oleh koperasi.

-Bernama

Lihat Komen
ADS