Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis rancang perbesar unit anjing pengesan K9
Diterbitkan:  Apr 4, 2021 1:18 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam perancangan memperbesar Unit Anjing Pengesan (K9) bagi memantapkan lagi perkhidmatannya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Katanya pada masa ini K9 dianggotai 118 handlers dan 72 anjing aktif.

"Yang dah semi-retired (kurang aktif dan separuh bersara) kita ada 45 ekor, kita akan mendapatkan lagi (tambahan anjing) yang dah diluluskan, hanya tunggu perolehan saja," katanya kepada pemberita di Langkawi hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seksyen 9 Langkawi Bahagian Bantuan Teknik D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan.

Mengulas penubuhan unit K9 di Langkawi, Abdul Hamid optimis khidmat lima anjing K9 yang ditempatkan di pulau peranginan tersebut dapat meningkatkan lagi keyakinan pelancong.

"(Penubuhan Unit K9 Langkawi) Selepas dua tahun, idea dan cadangan daripada anak buah saya, perlunya tempatkan (Unit) K9 di Langkawi.

"Pulau Langkawi terkenal di seluruh dunia dan perlu ada satu pasukan polis yang lengkap serba-serbi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata empat daripada lima ekor anjing berkenaan masing-masing ditugaskan untuk mengesan bahan letupan dan dadah manakala seekor lagi digunakan untuk kes jenayah lain.

- Bernama

Lihat Komen
ADS