Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Hakim berpengalaman yang patut kendali kes SRC Najib

Pasukan pembelaan Najib Razak memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini bahawa kes rasuah RM42 juta SRC International adalah "kes abad ini".

Bagaimanapun, kata ketua pasukan peguam Muhammad Shafee Abdullah, kes itu telah dibicarakan di depan seorang hakim Mahkamah Tinggi yang kurang berpengalaman dalam kes jenayah.

Ketika pendengaran rayuan kes itu di depan panel tiga hakim hari ini, Shafee berhujah bahawa seorang hakim dengan pengalaman kes jenayah yang mencukupi diperlukan untuk mengendalikan kes jenayah Najib.

Pada Julai 2018, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilaporkan mengambil alih kes itu daripada hakim Mohd Sofian Abd Razak.

Sebelum kes itu, Nazlan lebih banyak mengendalikan kes sivil.

Berkuatkuasa 1 Mac tahun ini, dia juga dipindah semula ke mahkamah sivil.

Hari ini, Shafee berkata kes jenayah SRC International sepatutnya didengar hakim yang berpengelaman dalam hal seumpama itu.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Ia wajar bagi mengurangkan kesilapan, katanya lagi.

"Ini adalah 'case of the century'.

"Tetapi Sofian dipindahkan dan Nazlan dibawa masuk (untuk mendengar kes tersebut)," katanya lagi.

Hari ini Mahkamah Rayuan mula mendengar rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkaitan tujuh pertuduhan dalam kes tersebut.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah dalam satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman tersebut sementara menunggu keputusan rayuannya.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Shafee berkata penghujahannya membangkitkan perlunya kes yang kompleks dan besar seperti kes SRC International dibicarakan di depan hakim yang sangat kanan dan berpengalaman luas dalam perbicaraan jenayah.

Dia merujuk sejumlah perbicaraan jenayah di Mahkamah Tinggi yang dikendalikan hakim senior seperti kes rasuah melibatkan bekas menteri besar Selangor Harun Idris pada 1970-an.

"Persoalannya mengapa dalam kes kami, ada pertukaran daripada hakim yang sangat berpengalaman iaitu Sofian kepada sorang hakim (Nazlan) di mana ini kes jenayah pertamanya," katanya lagi.

Menurut Shafee, perbicaraan jenayah bukan kes mudah yang boleh dikendali mana-mana hakim.

Pendengaran akan disambung sembilan pagi esok.

Panel hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil, Vazeer Alam Mydin Meera, dan Has Zanah Mehat.

[Baca berita asal]

ADS