Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Umno usah jadi mayang menolak seludang

Biar saya mulakan tulisan ini dengan mengingatkan kembali peranan Umno kepada Veteran Umno.

Sejak negara menikmati kemerdekaan, majoriti undi dan sokongan orang Melayu disalurkan hanya kepada Umno. Mengapakah Umno menjadi faktor penentu undi Melayu?

Jelas sekali kerana Umno sejak dulu tidak pernah mahu membenarkan mana-mana parti politik Melayu lain wujud dan menyertai politik kerana mereka tidak mahu ada saingan.

Akan tetapi, apakah nasib MIC semasa Umno tetap kekal sebagai wakil orang Melayu? Parti IPF (Barisan Kemajuan India Semalaysia) yang keanggotaannya berasaskan orang India diluluskan oleh kerajaan Umno.

Tidakkah Umno tahu dengan adanya IPF maka keahlian MIC akan berpecah?

Memang jelas bahawa niat Umno meluluskan dan membenarkan pendaftaran IPF hanyalah untuk memecahkan keahlian MIC dan pengikut MIC.

Dengan terdaftarnya IPF parti itu menjadi pesaing kepada undi kaum India buat MIC. Apakah niat sebenar Umno? Mungkinkah Umno memperjuangkan konsep pecah dan perintah?

Nasib yang sama juga menimpa MCA. Parti Gerakan diluluskan untuk pendaftaran semata-mata untuk meraih sokongan kaum Cina, sekali gus menjadi pesaing kepada MCA.

Apakah niat sebenar Umno? Mungkinkah Umno menegakkan konsep pecah dan perintah?

Kalau MIC atau MCA membangkitkan persoalan berkenaan hal ini kepada Umno, akan adalah bermacam-macam alasan yang diberi bagi menjustifikasikannya.

Selesaikan masalah Umno dulu

Wahai veteran Umno, MIC bukanlah biawak hidup kepada Umno. Sebaliknya Umno itulah yang berlidah biawak!

Kepada Veteran Umno yang dihormati. Jangan asyik menghebohkan zaman kegemilangan Umno apabila anda menguasai sokongan kaum Melayu dengan caraa monopoli dan pada masa sama lidah bercabang dengan MIC dan MCA.

Bisa permainan Umno telah mula meracuni parti itu sendiri apabila sokongan orang Melayu mula disalurkan kepada parti lain seperti PAS, PKR, Bersatu, DAP, Gerakan serta parti-parti lain di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, kejatuhan parti supremo serta perpecahannya berpunca daripada beberapa insiden seperti pemecatan hakim pada 1997 dan penahanan ketua-ketua pembangkang.

Selepas itu pada 1998 timbalan perdana menteri dipecat dan ia merupakan titik permulaan kepada lahirnya PKR. Pada 2015 - sekali lagi dengan pemecatan timbalan perdana menteri - parti Bersatu pula muncul.

Oleh yang demikian kenyataan Presiden MIC, SA Vigneswaran, berkenaan sokongan dan kerjasama kepada Muhyiddin Yassin dan Bersatu sehingga keputusan bersama Majlis Tertinggi BN dibuat itu tidak boleh ditafsirkan secara negatif bahkan mesti diambil sebagai suatu kritik konstruktif.

Umno dan BN jatuh pada 2018 kerana kebangkitan rakyat terhadap virus rasuah dalam Umno. Wahai Veteran Umno, kamu harus menyelesaikan masalah rumahtangga kamu terlebih dulu sebelum menganggap parti lain yang setia sebagai biawak hidup!

Sila kenali dulu semua biawak hidup dalam parti kamu sendiri sebelum menunding jari kepada MIC. Janganlah jadikan kata-kata Dr Mahathir Mohamad - Melayu mudah lupa - satu realiti.

Bak kata pepatah Melayu, usahlah Umno menjadi seperti mayang menolak seludang. Lupakah sudah Veteran Umno kepada segala pengorbanan MIC untuk memperkasa BN selama ini?

Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, anda seharusnya meneliti perjalanan Umno selama ini untuk mencari penyelesaian dalaman bukannya menunding jari ke sana ke sini.

Nasihatilah pemimpin kamu yang didakwa telah mengambil rasuah untuk berundur dari barisan hadapan seperti yang telah dibuat Najib Razak.

Saya kini faham mengapa Umno berada dalam kemelut politik sebegini. Ianya adalah kerana veteran parti macam anda yang masih terperangkap dalam fantasi kegemilangan monopoli zaman lampau. 


K KUMARAN ialah veteran MIC dan bekas naib presiden parti itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.  

Lihat Komen
ADS