Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila anggota Parlimen DAP bertikam lidah dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sehingga menteri itu terpaksa memendekkan penggulungan perbahasan Bajet 2007.

Anggota pembangkang yang tidak berpuas hati dengan tindakan Nazri yang enggan memberi laluan bagi meminta penjelasan, turut bertindak keluar dewan untuk kira-kira lima minit sebagai tanda protes.

Perang mulut antara Nazri dan anggota Parlimen DAP yang berlangsung hampir sejam. Ia bermula apabila Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) meminta penjelasan daripada Nazri tentang hala tuju kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Lim turut membangkitkan kenyataan Abdullah di Havana, Cuba, semalam yang mendakwa beliau tidak hilang kawalan terhadap kerajaannya.

Ketegasan Nazri utnuk meneruskan penggulungannya telah mendorong Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) masuk campur dan meminta Timbalan Yang DiPertua Dewan Datuk Lim Si Cheng "mengawal Menteri yang sudah hilang kawalan".

Soal-jawab antara Nazri dan Karpal Singh berlarutan sehingga perkataan kurang sopan keluar dari mulut kedua-dua pihak hingga terpaksa diredakan oleh Si Cheng.

Pada satu ketika, Karpal berulang kali meminta Nazri berhenti berucap dan duduk.

Nazri pula menemplak Karpal dengan berkata; " Awak cemburu kerana saya boleh berdiri,". Sindiran Nazri itu merujuk kepada keadaan Karpal yang tidak mampu berdiri dan terpaksa menggunakan kerusi roda setelah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya tahun lalu.

Nazri juga berkata Karpal sudah "gila".

Dalam pada itu, Kit Siang bangkit mempersoalkan tindakan Nazri yang membaca seperti "keretapi laju" sehingga anggota Parlimen tidak faham akan apa yang dihujahnya.

Keadaan terus menjadi tegang apabila Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) masuk campur apabila Nazri bertegas beliau berhak untuk tidak memberi laluan.

Dalam kekecohan itu, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) bangkit dan berkata anggota Parlimen pembangkang boleh keluar daripada Dewan jika tidak mahu mendengar penggulungan Nazri.

Ini membuatkan anggota Parlimen DAP bertindak keluar dewan selama kira-kira lima minit.

Nazri kemudian bertindak memendekkan penggulungan beliau sambil berkata jawapan bertulis akan diberikan kepada anggota Parlimen yang berminat.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nazri mengulangi pendiriannya untuk tidak memberi laluan kepada anggota Parlimen yang meminta penjelasan.

Katanya anggota Parlimen masih boleh membangkitkan persoalan mereka semasa perbahasan di peringkat jawatankuasa nanti.