Malaysiakini
BERITA

LHDN serah notis kebankrapan pada Najib

Hariz Mohd

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Apr 2021, 11:14 tengahari

Bekas perdana menteri, Najib Abdul Razak menerima notis kebankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semalam, menurut sumber yang rapat dengan ahli politik itu.

Notis berkenaan berhubung cukai sebanyak RM1.7 bilion yang dikehendaki oleh LHDN daripada Najib.

Malaysiakini difahamkan pegawai LHDN datang ke kediaman Najib semalam dan menyampaikan notis itu kepadanya secara peribadi.

"Kes ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Mei ini," kata sumber itu.

Pada Jun 2019, kerajaan melalui LHDN memfailkan tuntutan saman terhadap Najib bagi menuntut lebih RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri itu, dengan kadar faedah lima peratus tahunan bermula daripada tarikh penghakiman, serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan berkata Najib gagal membayar cukai pendapatan untuk tahun 2011 hingga 2017 dalam jangka waktu 30 hari yang ditetapkan setelah notis taksiran dikeluarkan.

Oleh itu, jumlah hutang setiap tahun meningkat sebanyak 10 peratus.

Ketua Pengarah LHDN, Sabin Samitah tidak memberikan sebarang respons ketika dihubungi.

Malaysiakini juga menghubungi Najib melalui pembantunya untuk mendapatkan respons mengenai perkara itu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.