Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda gesa PM benarkan warga 18-20 tahun daftar mengundi guna sistem sedia ada
Diterbitkan:  Apr 7, 2021 11:06 AM
Dikemaskini: 3:06 AM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membenarkan golongan berusia 18 hingga 20 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi menggunakan sistem sedia ada.

Dalam satu memorandum kepada perdana menteri, Muda berkata agak memalukan apabila masih bergelut dalam aspek teknologi untuk pendaftaran pengundi secara automatik, tetapi pada masa sama bercakap tentang Revolusi Industri 4.0.

“Muda mencadangkan bahawa proses dan mekanisme pendaftaran pengundi yang telah diguna pakai selama berpuluh tahun dilaksanakan dalam isu Undi 18.

“Cadangan ini dapat dilaksanakan segera dan ia tidak memerlukan sebarang tambahan peruntukan daripada kerajaan,” katanya dalam memorandum tersebut yang bertarikh 5 April 2021.

Cadangan sama turut disampaikan kepada Kabinet oleh Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merica dan Pemuda Umno.

Penurunan usia layak mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi dirancang, digubal dan diusulkan PH selepas mengambil alih kerajaan pada PRU yang lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh mengumumkan pelaksanaannya ditangguhkan ke September 2022 kerana persiapan mereka terjejas susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pilihan raya umum perlu diadakan sebelum 2023. Namun perkembangan semasa membayangkan lebih awal dari itu.

Ini bermakna golongan berusia 18 hingga 20 tahun kemungkinan besar tidak akan dapat mengundi jika PRU15 diadakan dalam tempoh itu.

Sementara itu, Muda berkata pembangkang sedia untuk membantu kerajaan bagi melaksanakan Undi 18.

Tambahnya, pelaksanaan Undi 18 sejajar dengan sokongan sebulat suara Ahli Parlimen ketika Pindaan Perlembagaan bagi menurunkan usia layak mengundi, pada 2019.

Lihat Komen
ADS