Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes rogol Adun: Saksi sahkan dua kesan koyakan baru pada kemaluan mangsa

Pakar Sakit Puan dan Ibu Hamil Jabatan Obstektrik dan Ginekologi Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr Nilawati Isha mengesahkan bahawa terdapat dua kesan koyakan baharu pada kemaluan pembantu rumah dalam kes rogol membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong.

Beliau memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Abdul Wahab Mohamed di Ipoh hari ini ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi.

"Daripada pemeriksaan, saya mendapati berlaku koyakan baharu pada selaput dara, juga terdapat kesan geseran iaitu kesan kemerahan, juga di bahagian paling bawah pada kemaluan," katanya.

Beliau berkata koyakan pada selaput dara boleh disebabkan oleh kemasukan objek tumpul atau organ seperti kemaluan lelaki dan jari manakala koyakan baharu bermaksud ia berlaku dalam tempoh kurang daripada 72 jam ketika mangsa diperiksa.

Katanya pemeriksaan itu dilakukan pada 12.30 tengah malam 9 Julai 2019 manakala kejadian rogol didakwa berlaku pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam.

Dr Nilawati turut memaklumkan kesan koyakan dan geseran pada kemaluan mangsa boleh dihasilkan dengan cara konsensual atau paksaan namun tiada masa spesifik ia boleh berlaku.

Beliau juga bersetuju berdasarkan sejarah warga Indonesia berusia 24 tahun itu, mangsa pernah melakukan seks dengan teman lelakinya pada 2018 semasa disoal balas oleh peguam Salim Bashir yang mewakili Yong.

Peguam itu kemudian mencadangkan bahawa koyakan juga boleh berlaku akibat masturbasi dan saksi tersebut bersetuju.

Yong, 51, yang didakwa merogol mangsa di kediamannya di Meru Desa Park, pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan.

Pegawai perubatan di Bahagian Kecemasan HRPB Dr Kate Lynn Ignatius pula berkata tiada kesan kecederaan fizikal atau lebam ditemukan di badan mangsa manakala ujian kehamilan yang dilakukan juga adalah negatif.

"Daripada pemeriksaan fizikal, saya tidak menemui apa-apa kecederaan atau lebam pada pesakit," katanya.

Bagaimanapun, Kate Lynn berkata hasil pemeriksaan fizikal sahaja tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa mangsa dirogol kerana dia pernah memeriksa pesakit lain yang tidak mengalami kecederaan pada tubuh badan tetapi masih disahkan telah dirogol.

Katanya mangsa kemudian dirujuk kepada pakar ginekologi di hospital sama untuk pemeriksaan lanjut.

Seorang lagi saksi, pemandu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang berkhidmat dengan Yong, Mohd Ali Ahmad, 51, memberitahu mahkamah mangsa pernah meminta dia menghantar wanita terbabit ke Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada pagi 8 Julai 2019, iaitu sehari selepas kejadian rogol didakwa berlaku namun tidak berbuat demikan kerana sedang bertugas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS