Malaysiakini
BERITA

'Zahid perlu solat istikharah, mana lebih baik untuk bangsa'

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Apr 2021, 4:02 pagi

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi disaran supaya solat sunat istikharah dalam menentukan keputusan terbaik yang perlu diambilnya susulan kemelut politik yang dihadapi termasuk desakan supaya meletakan jawatan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Md Alwi Che Ahmad berkata, tidak adil untuk menyatakan sama ada Ahmad Zahid perlu berhenti atau tidak.

"Terpulang pada dia, memang ada mana-mana pun kalau ada masalah orang suruh berhenti, perdana menteri pun orang suruh berhenti. Iulah dunia hari ini.

"Kalau kita jadi pemimpin kita akan hadapi banyak dugaan, lagi banyak dugaan lagi kuat sepatutnya kita. Sebagai seorang individu dia tahu apa perlu dilakukan. Tidak adil untuk saya kata dia perlu berhenti atau tidak. Dia lalui proses, dia tahu apa yang patut dibuat.

'Terserah pada dia. Dia kena duduk tanya hati, istikharah, tanya kawan-kawan, tanya sahabat, mana lebih untuk negara, mana lebih baik untuk bangsa, mana lebih baik untuk diri," katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan UNI Klinik anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Bachok, Kelantan, hari ini.

Md Alwi yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Kok Lanas berkata demikian ketika ditanya sama ada Zahid perlu melepaskan jawatan presiden Umno atau tidak.

Terdahulu, anggota Parlimen Bagan Datuk itu terpalit dengan kontroversi susulan tersebarnya rakaman perbualan telefon yang didakwa mengandungi suara miripnya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Rakaman kira-kira empat minit itu awalnya beredar dalam lingkaran orang Umno dan antara lain berhubung apa yang berlaku pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada akhir bulan lalu.

Ia antara lain memaparkan individu yang suaranya mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki suara seakan Zahid kerana berjaya mengendalikan Perhimpunan Agung Umno.

Susulan itu beberapa pemimpin Umno menegaskan Zahid perlu berundur sekiranya rakaman itu tulen.

Malah Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat jika rakaman itu terbukti benar, Zahid tidak layak lagi memimpin parti.

https://www.malaysiakini.com/news/569866

Sementara itu ditanya sejauh mana Zahid akan menjadi liabiliti kepada parti, Md Awli berkata, perkara itu ada betul dan ada salah.

Katanya itu bergantung kepada pendapat masing-masing kerana setiap pemimpin mempunyai penyokong dan penentang.

"Yang menentang akan kata betul, yang menyokong akan kata salah.

"Sebab seburuk-buruk pemimpin ada penyokong dan sebaik-baik pemimpin pun ada penentang. Kalau tanya penyokong akan kata kena kekal, jika tanya penentang akan kata kena berhenti sebab ini liabiliti.

"Sebagai pemimpin kita kena tahu ke mana mahu pergi dan di mana perlu berhenti. Jadi tanyalah pemimpin itu sendiri, dia nak ukir sejarah macam mana," jelasnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.