Malaysiakini
BERITA

'Kartel tender kerajaan' bukti rasuah dah terlalu teruk - Patriot

Ramieza Wahid

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Apr 2021, 4:44 pagi

Penahanan ketua “kartel tender” yang memonopoli projek kerajaan menunjukkan betapa teruknya sistem sedia ada, kata Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Mohamed Arshad Raji.

“Ini adalah pendedahan mengejutkan buat negara. Pasti ada yang salah dengan pentadbiran serta pemberian tender kerajaan.

“Ini juga menunjukkan rasuah dalam negara kita terlalu teruk.

“Patriot dikejutkan dengan keadaan rasuah di negara hari ini yang tampaknya ada di hampir setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“Kami percaya rasuah dalam kalangan penjawat awam tidak dapat dikekang susulan kurangnya keberanian dan kehendak di kalangan atasan pegawai kementerian, ketua jabatan dan agensi yang mungkin korup, " kata Arshad dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Arshad Raji

Patriot juga menggesa ketua setiausaha bagi setiap kementerian meneliti semua tender yang diberikan supaya elemen semak dan imbang dapat dilaksanakan bagi mengekang amalan rasuah.

Awal minggu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, pihaknya telah melumpuhkan kegiatan kartel tender kerajaan dengan menahan tujuh individu termasuk ketuanya.

Projek RM3.8 bilion

Suspek dilaporkan memonopoli 354 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk projek bernilai RM3.8 bilion.

Sindiket terbabit dilaporkan beroperasi sejak 2014 dan dipercayai menggunakan lebih 150 syarikat untuk memohon tender kementerian serta agensi kerajaan.

Sementara itu, Arshad berkata, kegiatan demikian hanya boleh dilaksanakn dengan bantuan ‘orang dalam’.

“Dakwaan logik adalah sejumlah wang besar telah dibayar kepada orang dalam yang mempunyai hubungan dengan orang atasan, termasuk pemimpin politik.

“Memberi kebanyakan projek kerajaan kepada satu entiti syarikat seakan membelakangkan kontraktor lain,” katanya.

Gambar hiasan

Tambah Arshad, dia juga hairan sekiranya pegawai kanan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak sedar akan berlakunya amalan rasuah itu.

Arshad turut menggesa SPRM supaya menahan ketua kartel terbabit dan melakukan siasatan menyeluruh berhubung perkara terbabit.

“Perlu ada siasatan menyeluruh berhubung perkara serius ini. Setiap seorang yang terlibat perlu disiasat. Malah ada suspek yang mempunyai gelaran sebelum nama.

“Sekiranya kita sudah selesai mengekang amalan rasuah termasuk menahan pemimpin tinggi serta ahli politik terlibat, barulah negara dapat membangun,” jelasnya.

[Baca berita asal]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.