Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Media dilarang buat liputan pendengaran awam MBSA

Wartawan dan jurugambar dihalang membuat liputan pendengaran awam draf rancangan tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2035 (penggantian) pagi ini.

Antara perkara yang menjadi pertikaian dalam draf rancangan terbabit adalah untuk menukar status Rimba Komuniti Shah Alam sebagai tanah pembangunan komersial dan tanah perkuburan.

Pendengaran awam itu dijadual berlangsung pada jam 9.15 pagi di dewan Wisma MBSA di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, pegawai MBSA tidak membenarkan pengamal media untuk memasuki dewan atau membuat liputan pendengaran awam tersebut.

Jelasnya juga, pihak MBSA tidak menjemput media.

Penduduk tempatan dan orang awam yang sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap draf perancangan itu dan menerima surat jemputan rasmi pula dibenarkan masuk.

Ketika dihubungi, exco negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal pihak berkuasa tempatan, Ng Sze Han berkata, pendengaran awam itu merupakan majlis tertutup.

“Harap maaf, ia adalah pendengaran tertutup,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini.

Ng dipercayai mempengerusikan sesi tersebut.

Ahli Majlis MBSA, Pappa Raidu Veraman, setelah keluar daripada dewan, bertanya kepada pengamal media sekiranya menerima “jemputan” untuk membuat liputan.

Dia turut menegaskan pendengaran awam ini “tidak terbuka kepada orang awam”.

“Kerana berdasarkan pegawai di dalam, pegawai perancang, kita masih tidak merumuskan pendengaran tersebut.

“Akan ada sesi lain untuk kalian hadir dan membuat bantahan sekiranya ada, bukan sekarang,” kata Pappa Raidu.

Media menerima jemputan untuk membuat liputan sesi pendengaran itu daripada kumpulan alam sekitar Shah Alam Community Forest Society (SAFCS)

Terdapat cubaan daripada penduduk awam untuk membantu media masuk ke dalam dewan sebagai ‘wakil’ bagi yang tidak hadir.

Pegawai MBSA membenarkan namun dengan syarat untuk tidak membuat liputan tentang apa yang berlaku.

Malah mereka turut meminta para pemberita menyerahkan alat rakaman.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS