Malaysia menerima kenyataan Pope Benedict XVI yang "amat menyesali" kata-katanya yang dianggap menghina Islam dan berharap ketua gereja itu tidak mengeluarkan lagi kata-kata yang boleh menyinggung perasaan umat Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), berkata Pope sepatutnya mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh meningkatkan lagi kemarahan masyarakat Islam.

"Saya fikir kita boleh menerimanya dan kita berharap tiada lagi kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan orang Islam," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau di New York bagi sesi ke-61 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Abdullah berkata apabila beliau menyentuh mengenai kenyataan kontroversi ketua gereja itu dalam perbincangan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush sebelum itu, jawapan pemimpin Amerika itu ialah bahawa beliau menghormati Islam dan menganggapnya sebagai agama keamanan.

"Apabila saya sentuh mengenai perkara itu dalam perbincangan kami sebentar tadi, saya sedar ia mencetuskan reaksi mendalam kerana yang mengucapkannya ialah Pope sendiri. Pope bukannya orang sembarangan. Sebab itu mencetuskan kemarahan memuncak di kalangan masyarakat Islam.

Menurut laporan Bernama, masyarakat Islam di seluruh dunia mengadakan bantahan selepas Pope Benedict pada minggu lepas mengaitkan Islam dengan keganasan dan memetik kritikan maharaja Byzantine pada kurun ke-14 terhadap Nabi Muhammad S.A.W.

Pope kemudiannya berkata beliau "amat kesal" bagi kemarahan yang dicetuskan oleh ucapannya di universiti Jerman, dan menegaskan bahawa perenggan yang dipetiknya itu tidak menggambarkan pendapat peribadi beliau.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat ketua gereja itu hanya dilihat sebagai meminta maaf bagi kemarahan yang dicetuskannya tetapi tidak semestinya mengenai petikan itu sendiri.