Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedai makan dibenar beroperasi hingga jam 6 pagi sepanjang Ramadan

Kerajaan membenarkan semua restoran, warung, gerai, kedai makan termasuk “coffee house” di dalam hotel serta kedai makanan segera dan perkhidmatan penghantaran di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan beroperasi sehingga pukul 6 pagi sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan bagi membolehkan orang ramai terutama golongan bujang mendapatkan makanan untuk bersahur.

Bagaimanapun, katanya bagi premis makanan di dalam kompleks beli belah atau pasar raya, ia tertakluk kepada waktu operasi bangunan tersebut

"Kerajaan dapat pelbagai permohonan daripada rakyat untuk beli makanan terutama melibatkan warga bujang. Sebelum ini operasi di kedai makan atau warung dihadkan sehingga 12 tengah malam atau mengikut syarat lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Ini bermakna kedai makanan boleh teruskan operasi sehingga waktu sahur dan orang ramai boleh bungkus makanan atau makan di kedai yang dibuka," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan PKP di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penganjuran majlis berbuka puasa dibenarkan seperti bufet Ramadan di hotel, restoran dan premis makanan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata pramusaji dikehendaki menyendukkan makanan kepada pelanggan bagi hidangan secara bufet.

“Mengenai bilangan kehadiran bagi bufet Ramadan di kawasan PKPB dan PKPP, kita benarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal antara pengunjung dan SOP kedudukan meja perlulah dua meter (jarak antara satu meja ke meja lain).

“Bagi majlis berbuka kita menggalakkan hidangan set ‘dome’, tapi kalau bufet mesti ada pramusaji untuk sendukkan makanan. Untuk majlis berbuka puasa di pejabat dan dewan, kapasiti 50 peratus daripada keluasan tempat bagi kawasan PKPB manakala 100 peratus di kawasan PKPP mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan PKPB di Selangor, Johor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula 15 sehingga 28 April, manakala PKPB di Sarawak pula dilanjutkan dari 13 hingga 26 April ini.

Menurutnya PKPP di Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan, Perak, Negeri Sembilan (kecuali di Seremban) dan Kedah (kecuali di Kuala Muda) pula dilanjutkan mulai 15 hingga 28 April.

Mengenai PKP Diperketatkan (PKPD), Ismail Sabri berkata kerajaan melaksanakan PKPD di Kampung Meruntum, Sabah mulai 13 hingga 26 April ini susulan peningkatan kes di lokaliti itu.

Menyentuh mengenai situasi Covid-19 di negara ini, Ismail Sabri berkata data Kementerian Kesihatan menunjukkan Malaysia berpotensi berdepan gelombang keempat wabak itu memandangkan kadar kebolehjangkitan kes harian semalam meningkat melebihi nilai satu.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai untuk mematuhi SOP terutamanya ketika bulan puasa dengan bazar Ramadan dan solat tarawih secara berjemaah dibenarkan pada kali ini.

“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara kembali meningkat kepada 1.06.

Kita bersama-sama perlu mematuhi SOP apatah lagi di bulan Ramadan terdapat banyak aktiviti seperti bazar Ramadan, majlis berbuka, moreh dan solat tarawih berjemaah," katanya. 

- Bernama


Lihat Komen
ADS