Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dana SRC beku di Swiss: Jawapan Najib cuma mengelak, hujah DPP

Mahkamah Rayuan diberitahu bekas perdana menteri Najib Razak sekadar memberikan jawapan berbentuk mengelak mengenai dana SRC International hampir RM4 bilion yang dibekukan di Switzerland.

Timbalan pendakwa raya V Sithambaram berhujah di hadapan tiga hakim Mahkamah Rayuan bahawa bekas menteri kewangan itu memberikan jawapan semacam itu ketika disoal oleh pihak pendakwaan.

Ini berhubung soalan mengapa Najib tidak membenarkan menteri lain memeriksa dana SRC di Switzerland.

Semasa perbicaraan rasuah SRC bernilai RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah memberi keterangan bahawa Najib tidak membenarkannya (Husni) pergi ke Switzerland untuk memeriksa status dana SRC bernilai RM3.6 bilion di sana.

Semasa perbicaraan kes jenayah itu, Najib telah memberi keterangan, dia menghalang Husni pergi ke sana pada tahun 2016 kerana Husni sepatutnya mengemukakan rancangan secara rasmi terlebih dahulu.

Bekas perdana menteri itu juga memberi keterangan bahawa SRC menangani masalah itu, sehingga tidak perlu Husni pergi ke Switzerland.

Dana RM3.6 bilion di Switzerland itu sebahagian daripada pinjaman RM4 bilion kepada SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Dilaporkan RM3.6 bilion itu dihantar ke sebuah institusi kewangan di Switzerland, dan kemudian pihak berkuasa Switzerland mengarahkan agar dana tersebut dibekukan.

Penghujahan Sithambaram itu sebahagian maklum balas terhadap rayuan Najib untuk membatalkan sabitan hukuman atas tujuh kesalahan yang melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.

Peranan Najib dapatkan pinjaman KWAP untuk SRC

"Jawapan perayu yang mengelak (Najib semasa perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi) menunjukkan bahawa perayu tidak mahu ada orang lain yang terlibat dalam dana SRC yang dibekukan di Switzerland itu.

"Tindakannya yang mahukan rancangan yang wajar tetapi tidak menyarankan walaupun sekali kepada PW56 (saksi pendakwaan ke-56 Husni) itu seakan tidak masuk akal.

"Perayu inilah yang berperanan dalam mendapatkan pinjaman RM4 bilion kepada SRC dan GG (jaminan kerajaan supaya KWAP memberi pinjaman sebanyak RM4 bilion kepada SRC) yang menyebabkan dana RM3.6 bilion itu berakhir di Switzerland.

"Dihujahkan perayu hanya mengizinkan SRC untuk berurusan dengan pihak berkuasa Swiss sehingga perayu memiliki kawalan atas dana SRC," hujah DPP.

Selain menjadi bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi penasihat SRC dan ketua lembaga penasihat syarikat pelaburan negara 1MDB.

Sebelum menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, SRC merupakan anak syarikat 1MDB.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, bukti dikemukakan menunjukkan Najib mempengerusikan mesyuarat kabinet pada bulan Ogos 2011 dan Februari 2012, di mana kelulusan diberikan untuk dua jaminan kerajaan terhadap pinjaman RM4 bilion daripada KWAP kepada SRC.

Pinjaman itu dikeluarkan dalam dua bahagian masing-masing sebanyak RM2 bilion.

Antara tujuh tuduhan yang disabitkan atas Najib adalah satu dakwaan penyalahgunaan kuasa, yang melibatkan persetujuan kabinet untuk jaminan kerajaan terhadap pinjaman berkenaan.

Sithambaram (gambar, atas) akan meneruskan penghujahannya esok pagi.

Sidang hakim hari ini dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil. Anggota yang lain adalah Hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Has Zanah Mehat.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Najib atas sabitan penyalahgunaan kuasa, tiga jenayah pecah amanah dan tiga kesalahan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana RM42 juta daripada SRC.

Hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib.

Bagaimanapun, mahkamah tinggi mengizinkan permohonan pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS