Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keterangan Apandi tak membantu pembelaan Najib, kata DPP

Keterangan diberi bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali tidak mengukuhkan pembelaaan Najib Razak dalam kes dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan bekas perdana menteri itu.

Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram berhujah hal itu dengan merujuk kepada carta aliran dana SRC yang digunakan Apandi untuk membebaskan Najib daripada skandal berkenaan pada 2016.

Penghujahan itu dibuat dalam pendengaran rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Pada Jan 2016 Apandi - atas kapasitinya sebagai peguam negara ketika itu - mengesahkan Najib tidak terbabit dalam sebarang salah laku berhubung dana SRC bernilai RM42 juta yang masuk ke akaun persendiriannya.

Bercakap kepada media ketika itu Apandi turut menunjukkan beberapa carta yang menunjukkan aliran wang SRC yang ketika itu menjadi anak syarikat 1MDB.

Bagaimanapun untuk rekod carta aliran yang samalah digunakan pihak pendakwaan untuk mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana berkenaan sebelum ini.

Semasa pertengahan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mac tahun lalu pasukan pembelaan Najib memanggil Apandi untuk memberi keterangan bagi pihak tertuduh.

Berhujah di Mahkamah Rayuan hari ini, Sithambaram berkata keterangan Apandi tidak membantu pembelaan kerana carta aliran kewangan SRC bahkan menunjukkan bahawa dana yang memasuki akaun tertuduh bukan sumbangan Arab seperti yang didakwa ahli parlimen Pekan itu.

V Sithambaram

"Carta aliran tersebut jelas menunjukkan bahawa dana SRC yang masuk ke akaun perayu (Najib) bukanlah sumbangan orang Arab.

"Bukti itu jelas menunjukkan RM42 juta yang masuk ke akaun perayu adalah dari SRC dan bukan dari sumbangan Arab atau sumber lain.

"Bukti ini menimbulkan keraguan terhadap integritas DW14 (saksi pembelaan ke-14 iaitu Apandi) dalam dapatan (sebelumnya) yang mendakwa perayu tidak bersalah atas kesalahan yang sedang disiasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Dia juga berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpu sebelum ini sudah mengambil kira bukti yang dikemukakan Apandi namun merumuskan ia gagal menimbulkan keraguan dalam kes tersebut.

Sithambaram juga berhujah keterangan Apandi sendiri semasa perbicaraan menunjukkan dia tidak mengetahui adanya bukti baru dalam siasatan setelah dia 'membersihkan' Najib pada Jan 2016.

Sementara itu, semasa perbicaraan hari ini diwarnai dengan pujian Sithambaram ke atas Najib.

"Bekas perdana menteri itu seorang yang pintar, tetapi itu bukan topik perbincangan untuk hari ini," katanya yang kemudian mengundang ketawa daripada orang yang hadir di mahkamah.

Perbicaraan rayuan itu didengar di depan tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil. Dua hakim lain yang mendengar rayuan Najib ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS