Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bazar Ramadan WP mungkin tutup jika kepatuhan SOP kekal rendah

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung dan peniaga bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan ketika ini dianggap tidak memuaskan.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata pada dasarnya kerajaan berharap agar bazar tersebut dapat diadakan sehingga akhir Ramadan.

Bagaimanapun katanya perjalanan bazar itu mungkin tidak akan bertahan lama jika pematuhan SOP masih rendah.

"Setakat dua hari pertama puasa, laporan yang diterima saya mendapati pematuhan kepada SOP tidak memuaskan.

"Jadi saya minta supaya tahap pematuhan diperbaiki. Sebab kita nak benarkan bazar berterusan sehingga akhir Ramadan," katanya.

Menurut Annuar jika pematuhan rendah dan keingkaran berterusan ada kemungkinan berlaku jangkitan atau penularan baru Covid-19 di Wilayah Persekutuan.

"Kalau didapati berlaku out break ataupun jangkitan di mana-mana bazar Ramadan berkenaan, tempat itu akan ditutup," katanya.

Annuar yang juga ahli parlimen Ketereh ditemui media selepas menyampaikan bantuan Ramadan peringkat parlimen itu di Padang Halban, Kota Bharu hari ini.

Menurut Annuar dia bimbang dengan kemungkinan berlakunya lonjakan kes Covid-19 yang menular di kawasan Wilayah Persekutuan kerana kawasan itu merupakan pusat aktiviti ekonomi.

Katanya jika berlaku lonjakan kes wabak tersebut ia akan menjejaskan ekonomi sedangkan kerajaan tidak mampu untuk menghentikan aktiviti tersebut kerana kesannya amat berat.

"Maka, kita nak aktiviti ekonomi ini dapat berjalan seperti biasa dan caranya ialah kita sama-sama ambil tanggungjawab supaya pematuhan diperketat secara sukarela.

"Kalau kita semua memainkan peranan menjaganya, maka Wilayah Perseketuan akan lebih selamat," katanya.

Lihat Komen
ADS