Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Memburu Nicky Liow: Penduduk tuntut penjelasan polis rumah rosak akibat serbuan

Sejumlah 17 unit kondominium yang tidak berkaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee dipercayai dirosakkan polis dalam serbuan yang diadakan terhadapnya bulan lalu.

Penduduk Trigon Residence di Puchong, Selangor mendapati pintu rumah mereka dipecah masuk dan menuntut penjelasan serta pampasan daripada polis.

Tujuh daripada penduduk dan pemilik kondominium yang terjejas mengadakan sidang media semalam bagi membangkitkan perkara ini. Turut serta adalah ahli majlis dan wakil daripada DAP.

Menurut ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya George Yap Kok Weng, dipercayai 17 unit yang dipecah masuk tiada sebarang kaitan dengan Liow, atau lebih dikenali sebagai "Datuk Nicky".

"Sejumlah 22 pintu dipecahkan dan lima daripadanya ada kaitan dengan Liow. Baki 17 rumah juga disyaki oleh polis maka mereka juga pecah masuk (di unit tersebut)," katanya kepada Malaysiakini.

Seorang pemilik terjejas yang hanya mahu dikenali sebagai "Madam Saw" memaklumkan dia menyewakan unit miliknya.

Katanya, ketika seorang jiran memberitahunya berkenaan serbuan polis, penyewa bergegas pulang tetapi tidak sempat sampai ke rumah sebelum ia berlaku.

Apabila penyewa itu sampai ke sana, katanya lagi, dia melihat pintu masuk sudah rosak dan seorang anggota polis di dalam rumah.

"Ketika saya telefon penyewa saya, dia kata tiada di rumah. Dia cepat-cepat pulang dan sampai dalam masa 10 minit, tetapi pintu sudah pun pecah," katanya kepada Malaysiakini.

Saw membuat laporan polis berhubung perkara itu di balai polis Puchong Jaya pada 25 Mac lalu.

Menurut Yap, kesemua tujuh penyewa dan pemilik kondominium yang hadir ke sidang media juga telah membuat laporan polis.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengetuai siasatan, memberitahu Malaysiakini dia akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu hari ini.

Ayob Khan

Pada 21 Mac, New Straits Times memetik Ayob sebagai berkata, polis sedang mengesan Liow dan alamat terakhirnya adalah di Trigon Residence.

Pada hari sama, China Press melaporkan kira-kira 100 anggota polis mengepung kondominium itu sekurang-kurangnya selama 18 jam, bermula jam tujuh petang hari sebelumnya.

Tuntut penjelasan, pampasan

Sementara itu, pegawai kepada exco Selangor Ng Sze Han, Ong Chun Wei memberitahu Malaysiakini bahawa sejumlah pemilik kondominium hanya sedar bahawa unit mereka dipecah masuk beberapa hari selepas serbuan dilakukan.

Ini bermakna unit mereka dibiar terbuka sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, meskipun penduduk menghargai usaha polis membanteras jenayah, mereka juga mahukan penjelasan tentang prosedur operasi standard (SOP) serta sama ada ia dipatuhi atau pun tidak dalam serbuan itu.

Mereka juga mahu tahu sama ada sebarang pampasan akan diberikan oleh pihak polis.

“Sesetengahnya keliru sama ada mereka perlu baiki pintu atau tidak. Kalau mereka baiki sendiri, macam mana mereka nak buktikan pintu itu dibaiki (selepas serbuan) jika ada siasatan nanti?

“Sesetengah unit masih disewakan, jadi mustahil untuk biar pintu terbuka sahaja.

“Daripada gambaran penduduk, kami fikir SOP tidak jelas dan kami gesa polis untuk berjumpa dengan penduduk secepat mungkin bagi memberi penjelasan berkenaan SOP dan pampasan,” katanya.

Ong menganggarkan jumlah kerugian keseluruhan untuk pintu-pintu yang rosak adalah sekitar RM30,000.

Pada 9 April, 14 individu termasuk dua adik-beradik Liow didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang, dikenali sebagai “Geng Nicky”.

Mereka pada mulanya disiasat untuk dua kes Macau Scam tetapi polis dikatakan menemukan pelbagai lagi aktiviti jenayah lain termasuklah kesalahan dadah dan rasuah.

Liow dikehendaki polis susulan penangkapan 68 ahli kumpulannya dalam Op Pelican 3.0, yang dijalankan antara 20 hingga 28 Mac.

[Baca laporan asal]


Lihat Komen
ADS