Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gobind: Siasatan dalaman tak cukup, SPRM perlu tangani dakwaan KPN
Diterbitkan:  Apr 18, 2021 1:52 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata siasatan dalaman polis mungkin tidak dapat menangani isu besar seperti kartel dan rasuah yang didedahkan oleh Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador baru-baru ini.

Justeru, pemimpin DAP itu menggesa SPRM untuk melancarkan siasatan penuh dan terbuka berhubung perkara berkenaan.

Gobind berkata demikian sebagai respons laporan Straits Times yang memetik IGP mengatakan bahawa beberapa bekas pegawai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah membiarkan mereka yang “menolong” penyiasat untuk dilepaskan tanpa didakwa atau ditukarkan jawatan.

Abdul Hamid juga berkata siasatan JIPS sering menemui jalan buntu, yang ,emyebabkan "tidak ada tindakan diambil" terhadap mereka yang disiasat.

"Ketua (Pesuruhjaya) SPRM berkata beliau yakin bahawa siasatan dalaman mencukupi.

"Beliau harus fikirkan semula perkara ini dan bertindak tegas dengan mengarahkan siasatan penuh dibawah Akta SPRM dengan segera," kata Gobin dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini mengatakan bahawa SPRM tidak berniat untuk campur tangan dalam isu kartel berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana ia adalah masalah dalaman jabatan itu.

Katanya, SPRM yakin dengan kemampuan dan kredibiliti PDRM untuk menangani masalah tersebut, dan bahawa Abdul Hamid juga telah menyatakan bahawa masalah itu dapat diselesaikan olehnya.

"Isu ini dapat ditangani oleh polis dan ini adalah masalah tertutup. Jadi saya rasa tidak perlu SPRM campur tangan dalam masalah ini," kata Azam pada 26 Mac.

Abdul Hamid sebelum ini mendedahkan adanya "kartel" dalam pasukan polis yang terdiri dari kalangan pegawai muda PDRM yang ingin menjatuhkannya dan mendakwa ia adalah kumpulan yang sama yang bertujuan untuk menguasai pasukan polis untuk kepentingan peribadi.

Abdul Hamid mengatakan bahawa sejak dia menjadi ketua polis negara, polis telah mengenal pasti dan memindahkan kurang dari 10 pegawai ke luar jabatan.

Berikutan pendedahan itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menafikan ada campur tangan terhadap pertukaran pegawai kanan polis.

Dia mengatakan bahawa apa-apa pelaksanaan pertukaran pegawai kanan polis adalah keputusan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Lihat Komen
ADS