Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Apa jadi komitmen kekal 50 peratus keluasan tanah M'sia diliputi hutan?
Diterbitkan:  Apr 18, 2021 4:32 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mempertikaikan komitmen pentadbiran PN untuk mempertahankan janji kerajaan Malaysia pada Sidang Kemuncak Bumi 1992 di Rio de Janeiro, Brazil untuk mengekalkan 50 peratus keluasan tanah Malaysia diliputi hutan.

Kok merujuk Dasar Perhutanan Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan pada 21 Mac lalu.

Muhyiddin ketika melancarkan dasar hutan ini turut memperkenalkan penubuhan Malaysia Forest Fund (MFF) yang dijangka membawa masuk dana sebanyak AS$100 juta dalam tempoh tujuh tahun akan datang untuk menguruskan sektor perhutanan negara.

"Bagaimanapun, seperti apa-apa polisi, kelemahannya ada dalam perincian dokumen setebal 11 halaman ini yang dikembangkan dan dibahas sejak 2016.

"Pelaksanaan semakan polisi ini pada tahun 1992 entah bagaimana telah mengabaikan komitmen ini, dan nampaknya komitmen ini masih belum mencapai perubahan terbaru terhadap dasar perhutanan terpenting negara ini setelah hampir 30 tahun," kata Kok, yang juga bekas menteri industri utama era PH.

"Perkataan 50 peratus muncul sekali dalam Dasar Perhutanan Malaysia: di bahagian latar belakang yang hanya menyatakan bahawa hingga hari ini, Malaysia telah mempertahankan komitmennya di Rio.

"Tidak ada dalam dasar ini yang dinyatakan dengan jelas bahawa komitmen (mengekalkan 50 peratus kawasan untuk liputan hutan) itu akan diteruskan.

"Jadi, apa yang kita dapat daripada perancangan selama lima tahun adalah dokumen samar-samar yang gagal memberikan jalan ke hadapan terhadap janji yang terkenal itu.

"(Komitemen Malaysia) yang sering diulang pada setiap pertemuan antarabangsa yang lain dan wajib melaporkan kepada konvensyen yang berkaitan seperti Konvensyen PBB untuk Rangka Kerja Negara mengenai Perubahan Iklim (UNFCC) dan Konvensyen PBB mengenai Kepelbagaian Biologi," katanya.

Menurut Kok, tidak ada jangka waktu pelaksanaan dasar tersebut kecuali dibayangkan penyelarasannya dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2050.

Ketika majlis pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kementeriannya juga berjaya melaksana beberapa pencapaian dalam sektor perhutanan walaupun negara bergelut dengan pandemik Covid-19.

Antaranya ialah Agenda Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta Pokok dan penanaman 18.75 juta pokok di seluruh negara pada 2020.

Selain itu, pencalonan Bukit Bendera, Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera di bawah program Man and the Biosphere (MAB), Unesco; pencalonan Taman Negara Johor Endau Rompin sebagai Asean Heritage Park ke-4 di Malaysia serta penghantaran pulang sembilan ekor Orang Utan ke Indonesia selain penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) untuk negeri-negeri bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Menteri itu turut mengulangi komitmen kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok sepertimana diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

Menurut Shamsul lagi, litupan kawasan berhutan di Malaysia pada masa ini ialah 55.3 peratus yang meliputi kawasan seluas 18.27 juta hektar daripada keluasan tanah negara.

Muhyiddin pula berkata: “Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, pelbagai usaha diambil bagi memenuhi komitmen yang diikrarkan semasa Sidang Kemuncak Bumi pada 1992 di Rio de Janeiro, Brazil dengan mengarusperdanakan pengurusan biodiversiti dalam pembangunan negara.

“Daripada keseluruhan kawasan berhutan di Malaysia, hanya 1.7 peratus adalah kawasan hutan terosot. Sejak 2016, seluas 1,859 hektar kawasan terosot dipulihkan dengan peruntukan sebanyak RM152.82 juta,” katanya.

Kos bagi mengekalkan dan memelihara kawasan hutan negara yang merangkumi 55.3 peratus atau 18.27 juta hektar daripada keluasan keseluruhan negara, adalah sangat besar dan dianggarkan sebanyak RM6 bilion diperlukan untuk tujuan itu, jelas perdana menteri.

Dokumen Dasar Perhutanan Malaysia memaparkan petikan Muhyiddin berkata: "Malaysia komited untuk terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok."

[Baca laporan penuh]

Lihat Komen
ADS