Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan menjalankan beberapa operasi dan juga pemeriksaan bagi menangani isu harga barangan di negeri itu.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, notis telah dikeluarkan ke atas peniaga di negeri itu atas pelbagai kesalahan termasuk kenaikan harga yang tidak berpatutan.

“Sebanyak 48 notis telah dikeluarkan ke atas peniaga ayam di Kelantan atas pelbagai kesalahan termasuk kenaikan harga melampau.

“Dalam operasi sama yang melibatkan pelbagai kategori barangan basah, (KPDNHEP) Kelantan turut mengeluarkan 19 notis kepada peniaga daging dan 34 notis kepada peniaga sayur-sayuran dan kesemua peniaga ini akan disiasat dan sekiranya berlaku pencatutan, tindakan tegas di bawah perundangan akan diambil,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, menerusi Ops Catut 8.0 yang berkuatkuasa Khamis lalu, pemantauan juga dilakukan ke atas pengeluar, penternak, pengilang dan pemborong ayam di sekitar negeri ini.

“Sebanyak 48 notis telah dikeluarkan ke atas peruncit dan pemborong ayam.

“Keseluruhan notis yang telah dikeluarkan adalah sebanyak 225 notis dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap bahan binaan, air kosong, pembekalan ayam, dan pembekalan daging oleh pegawai penguat kuasa KPDNHEP Kelantan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan berlaku kenaikan harga barangan seperti harga ayam proses naik mendadak sehingga mencecah RM10 sekilogram sejak awal Ramadan selepas pihak pembekal dan peladang ayam mengenakan harga yang agak tinggi.

Dalam pada itu, Adnan menyatakan bagi aduan awam, pihaknya setakat ini tiada menerima aduan secara rasmi berkaitan kenaikan harga barang semenjak awal April 2021.

“Bagi aduan awam, KPDNHEP Negeri Kelantan setakat ini tiada menerima aduan secara rasmi berkaitan kenaikan harga barangan semenjak awal April 2021.

“Walaubagaimanapun tiga aduan mengenai tiada tanda harga direkodkan dan telah diambil tindakan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan,” katanya.

Dia juga menegaskan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya ada kenaikan harga barangan di kalangan peniaga.

“Kesemua peniaga akan disiasat dan sekiranya berlaku pencatutan, tindakan tegas di bawah perundangan akan diambil.

“Sebarang aduan pengguna boleh dibuat menerusi aduan rasmi ke Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Kelantan,” katanya.

Lihat Komen
ADS