Hadi: Jangan korbankan rakyat kerana Dr M
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak patut berdendam dengan Tun Dr Mahathir Mohamad hingga mengorbankan kepentingan rakyat.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak patut berdendam dengan Tun Dr Mahathir Mohamad hingga mengorbankan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, jangan kerana marah dan dendam, projek-projek yang dirancang dan dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri itu dianggap membazir dan dibatalkan.
"Projek-projek yang memberi manfaat hendaklah diperkukuh dan diteruskan. Hanya projek yang merugikan rakyat patut dihentikan," ujarnya dalam sidang akhbar selepas melancarkan tvPAS di ibu negara malam tadi.
Menurut Abdul Hadi, antara projek penting Dr Mahathir yang patut diteruskan oleh kerajaan Abdullah ialah penubuhan Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) yang bertujuan memajukan ekonomi negara.
Selain itu katanya, kerajaan juga patut meneruskan projek rakyat seperti pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dengan Singapura kerana ia boleh menjana ekonomi negara terutama bagi penduduk Johor.
"Tetapi kerajaan telah membatalkannya...mungkin kerana ada tekanan dari Singapura. Sepatutnya seorang pemimpin mesti berani menghadapi tekanan...tidak guna material kuat kalau insaniah lemah," katanya lagi.
Abdul Hadi menambah, Abdullah sepatutnya membuat reformasi terhadap kelemahan yang dilakukan oleh Dr Mahathir, yang merangkumi semua bidang demokrasi, pendidikan dan pentadbiran negara.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu juga berharap krisis antara Dr Mahathir dan Abdullah diselesaikan segera demi kepentingan negara.
Katanya, krisis yang berpanjangan antara kedua-dua tokoh itu boleh memberi kesan buruk kepada negara kerana banyak masa terpaksa dihabiskan untuk menghadapi krisis tersebut.
"Walaupun ia krisis dalaman Umno tetapi kesannya sangat besar kepada negara dan rakyat secara keseluruhan," katanya
"Bagaimana mereka hendak menyelesaikannya terpulang kepada Umno kerana itu masalah mereka," katanya lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.