Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Najib jaring gol sendiri dengan perbualan BBM - pendakwaan

Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini bahawa pasukan peguam pembelaan Najib Razak “menjaringkan gol sendiri” apabila menerima perbualan Blackberry BBM yang dikaitkan dengan kes rasuah RM42 juta SRC International sebagai bahan bukti.

Timbalan pendakwa raya (TPP) V Sithambaram berhujah demikian, berhubung kejayaan pasukan peguam Najib menandakan transkrip perbualan BBM antara ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho dengan bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu sebagai bahan bukti.

Sebelum ini, semasa perbicaraan jenayah RM42 juta SRC di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pasukan peguam Najib memohon agar perbualan BBM itu ditanda sebagai bukti, bagi menyokong pembelaannya terhadap tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hujah TPP itu hari ini adalah sebagai balasan terhadap permohonan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadap kes melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta itu.

V Sithambaram

Di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini, Sithambaram berkata bahawa perbualan BBM antara Low dan Yu menguatkan lagi kes pendakwaan ke atas bekas perdana menteri itu.

Yu, yang pernah menguruskan akaun-akaun bank Najib, telah memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC.

Sithambaram hari ini membangkitkan bahawa perbualan BBM itu menunjukkan, antara lain, perbualan antara Low dan Yu yang menunjukkan bahawa ahli perniagaan itu menerima arahan daripada Najib, selain berhubung bilakah masa cek-cek akan dikeluarkan oleh Najib.

“Perbualan BBM yang banyak antara pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping dan Jho Low, menyokong bukti (wujudnya) pengetahuan sebenar di pihak perayu berhubung status dan transaksi membabitkan akaun peribadinya.

“Mereka (pembelaan) menuduh (pihak pendakwaan) mengalih tiang gol, tetapi ini (perbualan BBM), mereka jaring gol sendiri,” kata Sithambaram di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh hakim Abdul Karim Abdul Jalil.

Semasa perbicaraan SRC, pasukan peguam Najib bergantung pada pembelaaan bahawa bekas perdana menteri itu tidak mempunyai pengetahuan bahawa RM42 juta yang dimasukkan ke akaunnya adalah daripada SRC.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas satu tuduhan salahguna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah (CBT), dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta SRC.

Joanna Yu

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.

Namun, mahkamah membenarkan permohonan pasukan peguam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan bagi membatalkan hukuman tersebut.

SRC merupakan bekas anak syarikat 1MDB dan kemudian menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Selain merupakan bekas perdana menteri, Najib juga merupakan bekas menteri kewangan, bekas penasihat emeritus SRC dan bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

[Baca laporan asal]


Lihat Komen
ADS