Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBP jawab persoalan istilah 'Tuhan'
Diterbitkan:  Apr 20, 2021 1:16 PM
Dikemaskini: Apr 21, 2021 2:21 AM

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini tampil menjawab artikel penulis Uthaya Sankar SB yang mempersoalkan jika perkataan Tuhan - dengan T besar - hanya hak boleh digunakan orang Islam.

Dalam tulisannya yang disiarkan Malaysiakini, Uthaya membangkitkan perkara itu susulan antalogi cerpen Meredah Kabus (2021) terbitan DBP, di mana karya penulis bukan Islam yang menggunakan istilah "Tuhan" ditukar kepada "tuhan".

Justeru pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan berpandangan terdapat usaha licik pihak tertentu untuk memperlekeh hak beragama orang bukan Islam di negara ini. Artikel penuh Uthaya boleh dibaca di sini.

Dalam penjelasannya, DBP berkata setiap peraturan ejaan dalam bahasa Melayu menjadikan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (DBP:1975) sebagai rujukan utama.

Menurut DBP, istilah 'Tuhan' digunakan sebagai kata yang berhubung dengan agama manakala 'tuhan' adalah nama am yang antara lain merujuk kepada dewa yang mempunyai nama yang khas.

Pendekatan tersebut sama dengan bahan rujukan bahasa Inggeris, antaranya Oxford Dictionary of English, bagi istilah "God" (huruf besar) dan "god" (huruf kecil).

Berikut adalah kenyataan penuh DBP:

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ingin merujuk tulisan Uthaya Sankar SB yang tersiar di media dengan tajuknya Tuhan juga milik eksklusif orang Islam?

Dalam tulisan tersebut ditimbulkan isu berkenaan kata “Tuhan” dan “tuhan” yang terdapat di dalam antologi Meredah Kabus terbitan DBP, dan perakaman kedua-dua kata ini di dalam kamus terbitan DBP.

Berkaitan dengan peraturan ejaan dalam bahasa Melayu, rujukan utamanya ialah Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (DBP:1975).

Satu panduan umum daripada Pedoman tersebut menyatakan bahawa huruf besar digunakan untuk kata dan ungkapan yang berhubung dengan hal ehwal keagamaan, kitab suci, nama Tuhan, termasuklah kata gantinya. Oleh itu Tuhan sebagai kata yang berhubung dengan agama hendaklah ditulis dengan huruf besar.

Kamus pula menghimpunkan perbendaharaan kata yang ada dalam sesuatu bahasa, dan perakamannya berdasarkan penggunaan sebenar penggunanya. Misalnya, kata Tuhan (T huruf besar) di dalam kamus DBP dirakamkan sebagai kata nama khas yang merujuk kepada Allah Yang Maha Esa sesuai dengan penggunaannya berdasarkan data yang ditemukan.

Manakala kata tuhan (huruf kecil) adalah nama am yang merujuk kepada dewa-dewa dan sebagainya yang mempunyai nama-namanya yang khas.

Penemuan ini seiring dengan perkembangan bahasa dan penggunaan oleh masyarakat.

Sebagai perbandingan, pendekatan ini sama juga dengan amalan oleh beberapa buah rujukan dalam bahasa Inggeris seperti Oxford Dictionary of English, Collins English Dictionary dan Wikipedia.

Dalam Oxford Dictionary of English Second Edition (2003),  God merujuk kepada Tuhan dalam agama monoteistik (percaya kepada hanya satu Tuhan), manakala god merujuk kepada tuhan-tuhan bagi agama yang bersifat politeistik (percaya kepada banyak tuhan).

Berdasarkan kenyataan di atas, DBP berharap agar tidak timbul sebarang salah tanggap dan kerisauan berhubung perkara ini.

ADS