BERITA Malaysiakini

Raja Nazrin: Raja tidak semestinya perkenan semua perkara

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah secara terus terang menyuarakan rasa hatinya tentang kedudukan dan peranan sebenar Raja berperlembagaan ketika bertitah di Forum Khas Melayu Islam Beraja di Brunei pada Rabu lalu.

Dalam forum yang diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Brunei Darussalam yang ke-60 di Bandar Seri Begawan, bertajuk 'Kecemerlangan institusi beraja' itu baginda antara lain bertitah; " Raja tidak semestinya memberi perkenan kepada sesuatu cadangan atau tindakan, jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan, keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat.

Tegas baginda, Raja sama sekali tidak boleh memihak kepada perbuatan yang tidak melambangkan keadilan atau merestui tindakan yang tidak mencerminkan kebenaran.

" Peranan Raja bukanlah sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian dan istiadat semata-mata. Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku - tanpa nyawa - tanpa jiwa. Raja perlu memperlihatkan watak tegas, bijaksana dan adil, kaya ilmu - luas pengalaman."

Titah baginda lagi, sistem Raja berperlembagaan perlu ditafsir sebagai perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat.

Berikut adalah titah utama penuh Raja Dr Nazrin Shah.

1. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahi Rahmani Rahim

Segala puji milik Allah Subhanahu Wa Ta'ala, Tuhan Pemerintah semesta alam, Maha Berkuasa - Maha Mengetahui, lalu memilih dari kalangan Makhluk Nya untuk dikurniakan kebesaran - untuk diamanahkan tanggung jawab.

2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala sehingga ke hari kebangkitan.

3. Menghadap Paduka Seri Ayahanda, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaaddin Waddaulah, Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Ampun Tuanku, Sembah anakanda pohon diampun.

4. Izinkan anakanda dengan segala kerendahan diri - dengan segala kelemahan sifat, dengan ingatan yang bening - dengan hati yang hening, menzahirkan setulus kalam dari pancaran mata hati, melafazkan seikhlas kalimah dari denyutan nadi, merafak sembah 'dirgahayu tuanku' kepada Paduka Seri Ayahanda, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaaddin Waddaulah, Paduka Seri Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena ulangtahun keputeraan Paduka Seri Ayahanda kali ke enam puluh.

5. Selanjutnya, Anakanda mohon izin dan perkenan Paduka Seri Ayahanda untuk menzahirkan penghargaan atas keberangkatan bersama Paduka Adinda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaaddin Waddaulah.

6. Juga penghargaan anakanda kepada pengerusi penganjur Majlis ini, Paduka Ayahanda, Duli Yang Termat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara, Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

7. Mengatasi segalanya, Anakanda menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Paduka Seri Ayahanda menganugerahkan kepercayaan - mengurniakan penghormatan kepada anakanda berpeluang menzahirkan titah utama di Forum Khas Mengenai 'Melayu Islam Beraja' atas tema 'Kecemerlangan Institusi Beraja'. Sesungguhnya majlis ilmu sebegini nyata membuktikan perhatian berat Paduka Seri Ayahanda tentang program perkembangan minda selaras dengan peranan awal istana sebagai pusat perkembangan ilmu dan pembangunan intelek.

8. Anakanda amat insaf bahawa batang tubuh anakanda bukanlah searif insan untuk menghuraikan mauduk berkaitan, lebih-lebih lagi menyedari bahawa forum ini dilangsungkan dengan restu perkenan, di bawah naungan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Ayahanda, Sultan dan Raja Pemerintah yang bertakhta di singgahsana Kerajaan Brunei Darussalam, dengan segala kemuliaan dan kebesaran; khalifah kepada sebuah negara berdaulat, aman, makmur dan sejahtera. Anakanda mengikuti akan pendekatan 'Melayu Islam Beraja' yang menjadi tunggak dan asas pemerintahan Kerajaan Paduka Seri Ayahanda.

Ampun Tuanku.

9. Dalam segala kekurangan yang ada, dipohon pertunjuk dan kudrat dari ILAHI untuk membolehkan hamba Mu ini mendaki gunung - meniti gaung, agar dikurniakan petunjuk - diturunkan hidayat dari Mu juga Ya Allah, membolehkan hamba Mu menyempurnakan satu tanggung jawab sebaik mungkin, berpandukan pengetahuan yang masih sedikit - bersandarkan pengalaman yang masih singkat, dengan segala kesedaran - dengan penuh keinsafan, bahawa masih banyak ketidaksempurnaan yang terdapat pada diri Hamba Mu ini. Kepada Mu jua Ya Allah, dipohonkan segala panduan dan bimbingan. Amin, Ya Rabul Alamin.

10. Dalam menyuarakan pandangan - menghuraikan pendapat, mudah-mudahan barang diwasikan Allah juga di majlis ini, untuk anakanda berpeluang menimba ilmu, berkesempatan berguru dengan cerdik pandai yang lebih arif di negara Brunei Darussalam ini untuk membolehkan Anakanda lebih memahami akan falsafah dan konsep 'Melayu Islam Beraja'; dan kerana itu, dengan kail panjang sejengkal, adalah lebih bertepatan untuk Anakanda juga menjadi murid, menimba ilmu di tasik pengetahuan, dari kalangan cendekiawan tempatan akan mauduk menyentuh salasilah dan sistem Kesultanan negara Brunei Darussalam.

11. Anakanda memilih menghurai secara umum, latar sejarah sistem dan negara beraja, faktor-faktor kejatuhan dan kebangkitan, kekhilafan yang mungkin berlaku, kekuatan serta peranan, kesinambungan sistem beraja dalam menghadapi cabaran dunia global semasa.

12. Kepimpinan beraja adalah antara sistem kepimpinan tertua di dunia1. Pada awal kurun kesembilan belas, terdapat lebih sembilan ratus (900) takhta kerajaan. Kajian kronologi dan manual genealogi tentang dinasti baru Islam, merumuskan terdapatnya seratus lapan puluh enam (186) kesultanan berpaksikan Islam di antara tahun enam ratus tiga puluh dua (632) hingga 1944 Masihi. Pada hari ini terdapat seratus sembilan puluh tiga (193) negara berdaulat merangkumi seratus sembilan puluh dua (192) negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Vatican City. Dari jumlah tersebut, hanya empat puluh empat (44) negara yang memilih sistem beraja, sementara Vatican City terletak di bawah 'Supreme Pontiff', pemerintah Kerajaan Theocracy yang dikenali dengan gelaran 'Pope', diiktiraf dengan status Ketua Negara.

Raja-raja dunia

13. Dari empat puluh empat (44) negara beraja, enam belas (16) daripadanya mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan. Di samping bertakhta di United Kingdom, Ratu Elizabeth melantik Gabenor Jeneral di lima belas (15) negara lain. Enam belas (16) negara lagi mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, lima (5) Sistem Beraja separa autonomi, tujuh (7) negara mengamalkan sistem Raja secara mutlak.

14. Analisis taburan secara geografi, menunjukkan di kalangan negara yang mempunyai Raja, sebelas (11) terletak di Benua Eropah, tiga (3) di Benua Afrika dan empat belas (14) di Benua Asia, sementara enam (6) negara Oceania dan sepuluh (10) negara yang terletak di sekitar Benua Amerika Utara mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Berperlembagaan. Sepuluh (10) dari negara yang mengamalkan sistem beraja adalah negara Islam, sembilan di Asia dan satu di Afrika; lapan (8) darinya adalah negara pengeluar minyak.

15. Takhta Kerajaan dan Raja Pemerintah adalah rangkaian institusi dan individu; satu melambangkan jawatan dan kuasa, satu lagi merupakan pengisian watak, bertanggung jawap memberi nafas dan mengisi roh kepada institusi. Peranan utama Raja adalah memberi kepimpinan, menjadi contoh - menjadi teladan untuk dijadikan pedoman - untuk memberikan panduan - untuk disandarkan harapan - untuk memberi naungan. Raja dihormati - dimuliakan, dinobatkan - didaulatkan, kerana Raja diiktiraf memiliki kelebihan dan keistimewaan; tempat rakyat tumpang berteduh - tempat warga dapat berlindung. Di awal tamadun manusia berkerajaan dan bernegara, individu yang dimartabatkan menjadi Raja adalah individu yang memiliki segala kelebihan, dari segi akal bicara, dari segi kebijaksanaan, dari segi hikmah, dari segi kegagahan, dari segi pengetahuan, dari segi sahsiah, dari segi keberanian, dari segi keupayaan mengatasi cabaran.

16. Dengan mendapat kepercayaan dan penghormatan, dengan memperoleh sokongan dan kesetiaan, Raja berperanan menyatukan warga, membina sebuah negara bangsa berdaulat. Raja di era tersebut bersandar kepada tiga paksi utama; pertama, penerimaan secara agama; kedua, memiliki kuasa politik; ketiga, prinsip baka dan keturunan. Raja dilihat sebagai Dewata mewakili tuhan di dunia, sekali gus memenuhi tanggung jawab keagamaan; lalu Raja dikaitkan dengan kesaktian sebagai keistimewaan anugerah Tuhan. Ketika itu Raja berperanan mutlak sebagai penggubal, pentafsir, pelindung dan pelaksana undang-undang, di

samping diiktiraf sebagai ketua agama.

17. Empat ratus (400) tahun terakhir merakamkan perubahan besar berlaku terhadap institusi Raja. Berlaku evolusi berkerajaan secara dinamik. Bilangan takhta menjadi kurang. Antaranya adalah selaras dengan bilangan negara yang turut berkurang kerana berlakunya penaklukan dan percantuman wilayah lalu terbina negara yang lebih besar. Faktor lebih utama yang mempengaruhi evolusi terhadap sistem berkerajaan adalah revolusi pendidikan dan revolusi ilmu yang membawa dunia kepada penemuan saintifik serta penghuraian saintifik, di samping kefahaman lebih mendalam terhadap agama. Kedua-dua faktor tersebut merubah persepsi dan tafsiran dunia terhadap Raja; lalu muncullah alternatif sistem berkerajaan yang turut dipengaruhi oleh dinamik evolusi kehidupan manusia, kesan revolusi industri, perkembangan teknologi, perubahan corak dan paksi ekonomi, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi. Di samping itu, kelemahan watak dan kesilapan laku individu, salah ramalan dan silap percaturan di kalangan sebahagian mereka, turut menjadi faktor pemangkin membawa

kepada kejatuhan sesebuah institusi Raja.

18. Sistem Raja dihapuskan di Latin Amerika seawal abad kesembilan belas, kesan pengaruh sistem republik yang berjaya diperkenal dan diamalkan di Amerika Syarikat. Lalu berakhirlah pengaruh tiga ratus tahun Raja Sepanyol yang merentas dari Mexico di utara sehingga ke Chile di selatan Latin Amerika. Perang dunia pertama bukan hanya menyaksikan terkorbannya dua puluh (20) juta manusia dalam tempoh masa empat tahun3 malah meruntuhkan tiga empayar besar dengan tradisi beraja di Eropah, dengan kejatuhan takhta di Austria, di Jerman, di Rusia, di samping Empayar Ottoman.

19. Dua peperangan dunia mengubah landskap politik dunia. Dua peperangan dunia menyaksikan perubahan imbangan kuasa dunia. Dua peperangan dunia menyaksikan kemusnahan, menyaksikan pertambahan perbelanjaan ketenteraan, menyaksikan kebangkitan semangat nasionalisme, menyaksikan kemunculan ideologi baru dan menyaksikan kelahiran rupa bentuk pemerintahan dan kerajaan baru. Lalu berlaku transformasi politik membentuk persekitaran politik yang berbeza. Abad kedua puluh menyaksikan kebangkitan gerakan nasionalisme dan corak pemerintahan berlandaskan perlembagaan. Berlakulah evolusi dalam pemerintahan beraja.

20. Raja-Raja di Eropah yang peka, memahami dinamik yang berlaku berikutan gerakan politik rakyat berpaksikan masyarakat industri dan masyarakat kota. Raja yang sebelumnya dianggap Dewata mewakili tuhan memerintah hamba-hamba di bumi, bertukar peranan sebagai pembela kepada kebajikan dan kebaikan warga di sesebuah negara bangsa. Raja-Raja yang berjaya melayari angin yang meniup bayu perubahan, mentafsir semula peranan mereka, mengolah wajah dan merangka dimensi baru, lalu berjaya mengekalkan pengiktirafan dan kesetiaan rakyat. Raja-Raja tersebut berjaya melakukan pengubahsuaian, lantas takhta dapat dikekalkan. Malah dengan kemunculan gerakan politik berparti, Raja yang berada di atas politik, diiktiraf sebaik hakim, memenuhi fungsi sumber keadilan, berupaya mendamaikan persengketaan di antara puak-puak yang bertelingkah; konsep ini menjadi perintis - menjadi asas kepada doktrin pemisahan dan perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat di era pasca Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. 21. Raja Inggeris dan Raja-Raja di Scandinavia, di Belgium, di Netherlands, di Luxembourg dan di Greece kekal mendapat sokongan rakyat. Raja Inggeris mempamerkan sifat tanggung jawab yang tinggi dengan memilih bersemayam di London ketika kota raya tersebut menghadapi serangan udara. Baginda senantiasa berpakaian seragam tentera sepanjang masa peperangan. Baginda melawat kawasan-kawasan yang musnah; Baginda meniupkan semangat serta meningkatkan moral rakyat. Ratu Wilhelmina yang menduduki takhta kerajaan Netherlands sejak berusia sepuluh (10) tahun memperlihatkan kematangan pengalaman, secara tegas menitahkan Netherlands tidak melibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama, sementara Gustav V berjaya menghalang Sweeden dari terlibat dalam Peperangan Dunia Kedua.

22. Raja Leopold secara tegas mengetepikan keputusan jemaah menteri, mengambil pendirian menyerah tanpa syarat dan memilih untuk bersama rakyat dan tentera Baginda; satu keputusan terhormat yang mendapat sokongan padu di kalangan rakyat Belgium berketurunan Flemish. Raja Leopold kemudiannya secara berkesan menjadi faktor penyatu bagi rakyat Belgium yang menghadapi pelbagai isu nasional dan isu bahasa. Raja Christian, memilih bersemayam di Copenhagen setelah memberi perkenan kepada jemaah menteri supaya Denmark menyerah. Pendirian Baginda menyelamatkan rakyat dan negara Denmark berbanding dengan Raja Haakon, yang menyeru rakyat Norway menentang kemaraan Jerman dan akhirnya Baginda sendiri terpaksa melarikan diri ke Britain. Empayar Rusia dan Habsburg (Austria-Hungary) gagal melakukan penyesuaian pemerintahan berlandaskan perlembagaan dan perwakilan kuasa berbentuk parlimen, akhirnya takhta hilang dari negara.

23. Nicholas II, Raja (Tsar) Rusia terakhir adalah antara pengajaran memperlihatkan kelemahan seorang watak yang gagal memenuhi tanggung jawab berat sebuah institusi. Sepanjang tempoh pemerintahan Baginda, Nicholas dibatasi dan dikelilingi dengan pengaruh orang-orang yang Baginda senangi sama ada pemimpin agama, Permaisuri dan Paderi kesayangan Permaisuri bernama Rasputin. Pegawai-pegawai berwibawa tidak disenangi dan gagal mendapat kepercayaan Baginda. Akhirnya Baginda terperangkap dengan kepalsuan dan tidak berpeluang memahami realiti. Berakhirlah Pemerintahan Baginda apabila terputusnya sokongan rakyat.

24. Perang Dunia Kedua turut melihat berakhirnya takhta kerajaan di Romania, di Bulgaria, di Yugoslavia dan di Italy. Kelemahan Victor Emmanuel III ditambah dengan kelengahan melantik anakanda Baginda, Putera Umberto menaiki takhta, telah tidak memberikan peluang untuk Putera Umberto dinilai secara adil. Ketika rakyat Itali mengadakan pungutan suara untuk menentukan corak kerajaan, Putera Umberto baru beberapa minggu menaiki takhta. Namun perlu dirakamkan, bahawa kerana masih adanya Raja pada penghujung Perang Dunia Kedua, memudahkan rakyat Itali menolak 'fasisme' berserta Mussolini, berbanding ketidakupayaan para Jeneral di Jerman mencabar arahan Hitler dan fahaman 'Nazisme'.4 Greece kehilangan takhta kerajaan dalam tahun 1967 kerana kegagalan Raja Constantine menangani gelombang politik yang mencetuskan perpecahan di kalangan rakyat selepas Perang Dunia Pertama dan kemelut perang saudara selepas Perang Dunia Kedua.

25. Tahun enam puluhan menyaksikan negara-negara jajahan di Afrika mencapai kemerdekaan; majoriti membentuk kerajaan merdeka bermodelkan republik. Di Asia, sistem Maharaja di Cina berakhir berikutan revolusi 1912. Dalam tahun 1948, pemerintahan berteraskan demokrasi berparlimen menggantikan 'Britisih Raj' di India. Indonesia memilih sistem Republik. Namun ikatan emosi terhadap Raja masih berakar di hati rakyat, terutama mereka yang berketurunan Jawa, dengan pegangan mistisisme, menghargai konsep 'Ratu Adil'. Langit Jakarta berawan mendung, bumi Jawa gerimis hiba, menerima berita kemangkatan Sultan Hamengkubuwono IX di Washington pada bulan Oktober 1988. Seratus lima puluh ribu ratus (150,000) rakyat memberi penghormatan terakhir dalam tempoh enam belas (16) jam jenazah Baginda ditempatkan di Kraton.6 Meski Indonesia adalah sebuah republik, Baginda diiktiraf wira negara; Baginda dirujuk sebagai 'Raja Kita'.

26. Maharaja Jepun berada di martabat tinggi pada akhir Perang Dunia Pertama selaras dengan kemenangan yang dicapai oleh negara Baginda. Jepun mewakili kuasa yang berjaya di Konferensi Damai Paris. Jepun mendapat hak menduduki koloni Jerman di Pasifik, di Cina dan mendapat keistimewaan di Manchuria. Senario yang dihadapi oleh Maharaja Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua amat berbeza, ketika Jepun berada di pihak yang kalah. Malah ada suara menuntut agar Maharaja Hirohito dihadapkan ke muka pengadilan. Ada dua pendapat berhubung peranan Baginda dalam Perang Dunia Kedua. Pendapat pertama, menyatakan Baginda adalah kuasa tersembunyi, terlibat dan bertanggung jawab secara langsung menentukan arah tujuan penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Kedua7. Pendapat kedua, mempertahankan Maharaja Hirohito; dengan pandangan bahawa Baginda sebenarnya tidak mengeluarkan sebarang arahan secara langsung. Baginda disifatkan seorang yang berhati-hati dengan pemikiran yang perlu dibaca secara tepat.8 Dikatakan Baginda melakukan kesilapan kerana tidak memiliki kekuatan untuk mencabar ketetapan angkatan tentera.9 Baginda dianggap lebih berada dalam kongkongan pengaruh pemikiran angkatan tentera.10 Meski memiliki martabat dan pengaruh, Baginda dikatakan kekal dengan kesopanan untuk tidak melanggar tafsiran peranan Raja bersandarkan perlembagaan. Baginda dikatakan mempunyai pilihan untuk menamatkan peperangan lebih awal tetapi menunggu sehingga mendapat permintaan Perdana Menteri setelah Hiroshima dan Nagasaki dileburkan.

27. Apa pun di sebalik peranan Baginda, General Douglas MacArthur mencapai kompromi, memperakukan kesinambungan takhta Maharaja Jepun setelah Perang Dunia Kedua berakhir. Maharaja Jepun dikekalkan tetapi dengan wajah dan dimensi baru. MacArthur bagaikan memahami budaya berkerajaan di Jepun dengan membuat bacaan tepat akan nilai tinggi masyarakat Jepun terhadap takhta. Di abad kedua puluh satu, Jepun telah bangun dari debu Hiroshima dan Nagasaki, menjadi gergasi ekonomi dunia, menjadi negara industri - negara teknologi, negara moden - negara maju, namun masyarakat Jepun kekal dengan semangat setia kepada institusi Raja. Jepun yang mengamalkan sistem demokrasi tidak pernah menghina dan merendahkan Raja. Malah masyarakat Jepun resah apabila keluarga Diraja gagal melahirkan putera pewaris takhta. Kerajaan Perdana Menteri Kozumi hampir meminda Perlembagaan Negara untuk melayakkan wanita mewarisi takhta. Kelahiran Putera Hisahito, pada 6 September 2006, disambut riang oleh rakyat Jepun, bagai merayakan turunnya hujan rahmat di bumi Nippon yang dibimbangkan gersang.

Raja berjiwa rakyat

28. Raja Bhumibol Adulyadej di Thailand, secara bijaksana lagi teliti berupaya mendapat sokongan rakyat dengan mendampingi para petani, mahasiswa dan siswazah; mencerminkan imej seorang Raja yang mengambil berat akan tanggung jawab sosial, bersifat patriotik kepada negara bangsanya serta menjalin hubungan erat dengan agama.12 Raja Bhummipol secara bijaksana telah mengolah dan memberi makna akan fungsi takhta dalam sistem Raja Berperlembagaan. Bahawa Raja dan rakyat disatukan. Raja melambangkan kedaulatan sebuah negara bangsa merdeka, memperlihatkan pendirian yang mendukung prinsip demokrasi dan memihak kepada pemerintahan sivil. Semalam berlaku satu lagi rampasan kuasa di Thailand. Dalam 'intermission' sesuatu babak di panggung pemerintahan, ketika tirai dilabuhkan, Raja Bhumipol berasaskan rekod, sentiasa berada di 'center stage' mempengaruhi arah haluan babak selanjutnya.

29. Insiden aneh berlaku di Iran. Dalam bulan Ogos 1953, pelopor utama demokrasi dunia, Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Dwight Eisenhower dan Great Britain di bawah pimpinan Perdana Menteri Winston Churchill, terlibat secara langsung merestui 'Operasi AJAX', menggulingkan pemerintahan demokrasi pimpinan Perdana Menteri Mohammad Mossadegh. Mohamad Reza Shah, dinobatkan sebagai Raja yang bersemayam di 'takhta merak' (peacock throne),13 Mohamad Reza Pahlavi digulingkan oleh gerakan Revolusi Islam dalam tahun 1979. Bermulalah era anti-Amerika berwajah militan - berbentuk keganasan.14

30. Meskipun kerajaan beraja bagaikan tidak lagi menjadi pilihan, sistem Raja diwujudkan di kalangan negara Islam susulan kejatuhan Empayar Ottoman. Sistem kesultanan adalah satu penerusan tradisi sistem yang diwarisi berakarkan sistem khalifah; sistem yang tidak asing dalam budaya umat Islam berkerajaan dan bernegara. Hasil sumber minyak yang membawa kemakmuran ekonomi, telah memberikan kekuatan dan kuasa baru kepada sistem beraja di negara-negara Islam berkaitan. Selagi kemakmuran ekonomi berjaya diagih secara saksama, kemudahan kesihatan, pendidikan dan kebajikan diberikan perhatian, kestabilan dan keselamatan warga terjamin, pengangguran dapat diatasi, Islam diutamakan dan ulama kekal setia bersama Raja, sistem beraja di negara-negara Islam tersebut, InsyaAllah akan dapat dikekalkan.

31. Sistem Raja Berperlembagaan kembali mengambil tempat pada tahun 1975 di Sepanyol membantu mengembalikan budaya demokrasi dari budaya autokrasi Jeneral Franco. Jika Kerajaan beraja lenyap di Vietnam - lenyap Laos, terperangkap dalam pertelagahan kepentingan antara wibawa Raja, kuasa kolonial Peranchis, kebangkitan nasionalisme dan ideologi komunis, tetapi Kampuchea meskipun jatuh ke tangan komunis, memberi nafas kepada sistem beraja untuk memberi kesahihan kepada kerajaan Hun Sen; karisma dan kebijaksanaan Putera Sihanouk, berpengaruh menyesuaikan peranan Raja mengharungi konflik semasa, walaupun Baginda berulang kali pula gagal menentukan arah haluan secara konsisten. Namun legasi yang ditinggal, membuatkan rakyat Kampuchea menghargai sistem pemerintahan beraja, kerana itu institusi Raja Berperlembagaan diwujudkan pada tahun 1993.

32. Demikian senario dan dinamik yang dilalui oleh institusi Raja secara global dalam tempoh empat ratus (400) tahun yang lalu. Institusi Raja sebenarnya melalui ujian - menghadapi cabaran, berhadapan dengan tentangan - berupaya merentasi rintangan. Ada yang lupus, namun masih ada yang terus dipertahankan, ada yang diberikan tafsiran baru, ada yang diberikan nafas semula, ada yang bertambah kukuh. Institusi Raja tidak terlepas menghadapi momokkan dengan istilah-istilah negatif, dikaitkan dengan feudalisme dan autokrasi. Istilah-istilah sedemikian dipelopori oleh mereka yang bersifat anti-Raja.

33. Budaya feudalisme dan budaya autokrasi bukan budaya yang boleh dikaitkan dengan institusi. Budaya feudalisme dan budaya autokrasi berlaku kerana perbuatan individu, apabila individu menjadi mabuk kuasa. Budaya tersebut subur apabila manusia menjadi takjub kepada individu, melakukan pendewaan terhadap individu, hingga berasa takut yang melampau kepada individu. Tidak dinafikan budaya feudalisme dan budaya autokrasi pernah berlaku dalam istana - pernah berlaku di kalangan Raja; tetapi budaya feudalisme dan autokrasi tidak terbatas berlaku dalam istana dan karakter sedemikian bukan terjadi di kalangan Raja semata-mata. Budaya feudalisme dan budaya autokrasi turut dilakukan di kalangan mereka yang tidak berketurunan Raja, dari kalangan rakyat biasa; dan berlaku dalam sistem demokrasi, dalam sistem komunisme, dalam sistem sosialisme, dalam sistem republik, dalam pemerintahan berpaksikan tentera, malah dalam sistem atas nama agama. Malah kajian menunjukkan bahawa bilangan rejim diktator dan autokrasi hari ini berlaku di negara-negara yang tidak berada di bawah pemerintahan Raja.15

34. Kisah-kisah yang dihuraikan wajar dijadikan iktibar dalam hasrat dan dalam usaha memartabatkan institusi Raja. Masyarakat dunia sedang dan akan terus melalui proses evolusi yang semakin rancak. Era teknologi maklumat - era komunikasi telah menembus sempadan negara - sempadan negeri. Kekebalan Raja turut terjejas, kerana proses perundangan bersifat sejagat, di tambah pula dengan gaya hidup Raja dan kerabat Diraja yang tidak lagi terkurung dalam lingkungan tembuk istana. Ekonomi berpaksikan pengetahuan memberikan satu kemerdekaan baru membina kekayaan bersumberkan intelek, sekali gus mengurangkan keperluan insan mendapat naungan. Kemajuan pendidikan, memudahkan minda dan jiwa manusia bersifat lebih bebas dan lebih terbuka. Pendalaman pengetahuan agama menyedarkan manusia bahawa terdapat kuasa yang Maha Agung di atas segala kuasa dan kerajaan di dunia. Media pula mencanai minda masyarakat yang menuntut kepada amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban pemimpin.

35. Raja perlu memiliki hikmah merangkai yang lama dengan yang baru, membawa pembaharuan di samping memelihara tradisi. Raja harus bersedia membolehkan berlakunya perubahan dalam rangka kesinambungan budaya Raja berkewajipan mengizinkan modenisasi tanpa melupus kekayaan adat yang kekal diwarisi. Sesungguhnya Raja telah membuktikan keupayaan memenuhi peranan sedemikian secara berkesan. Biar apa pun sistem Raja itu dilandaskan, peranan Raja bukanlah sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian dan istiadat semata-mata. Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku - tanpa nyawa - tanpa jiwa. Raja perlu memperlihatkan watak tegas, bijaksana dan adil, kaya ilmu - luas

pengalaman. Untuk membolehkan Raja bertindak secara arif, bijak, adil dan saksama, adalah menjadi keperluan bagi Raja mempunyai barisan pembesar dan penasihat dari kalangan mereka yang arif lagi ilmuwan, dari kalangan mereka yang tidak mempunyai muslihat, dari kalangan mereka yang tidak berkepentingan terselindung, supaya Raja, disembah nasihat dengan maklumat yang tepat, secara objektif - secara rasional, berasaskan fakta - bersandarkan data; agar Raja terlindung dari berpagarkan sokong yang membawa rebah.

36. Sistem Raja Berperlembagaan perlu ditafsir sebagai perkongsian kuasa antara Raja dan rakyat. Raja menjadi sumber rujukan ketika berlakunya krisis di kalangan rakyat. Raja memastikan bahawa berlakunya secara adil mekanisme semak dan imbang antara cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman; sekali gus memperkukuhkan institusi demokrasi di dalam negara. Secara umum Raja bertindak berasaskan nasihat pimpinan kerajaan pilihan rakyat. Namun Raja tidak harus sama sekali merasakan tertekan dan tidak semestinya memberi perkenan, jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat. Raja sama sekali tidak boleh memihak kepada perbuatan yang tidak melambangkan keadilan atau merestui tindakan yang tidak mencerminkan kebenaran.

37. Tataurus negara adalah satu kesenian yang perlu dikuasai; utama sekali usaha menyatukan warga dan memupuk kesetiaan kepada Raja - kepada negara. Tata urus negara tidak berlaku semudah tulisan di kertas atau ungkapan yang dititahkan. Tata urus negara memerlukan seni urus yang halus - daya tadbir yang canggih, dilaksanakan melalui mekanisme yang berkesan, cekap dan telus; mekanisme tadbir yang tidak menyimpang atau menyeleweng serta jauh dari amalan rasuah. Raja jatuh kerana jatuhnya negara, negara jatuh kerana resahnya rakyat. Urus tadbir yang lemah menjadi punca keresahan rakyat; urus tadbir yang pincang merosakkan negara, dan akhirnya melemahkan Raja. Justeru itu, adalah menjadi kemestian kepada pentadbir yang dilantik mengurus tadbir negara, membuktikan kesetiaan kepada Raja dengan melaksanakan tanggung jawab secara amanah, ikhlas, bersungguh dan komited. Itulah bentuk pengorbanan seseorang yang telah berbalah kepada Raja; sumpah setia yang perlu diterjemahkan dengan memastikan kestabilan kerajaan, memajukan kemakmuran negara dan menjamin kesejahteraan warga. Tanpa warga, tidak akan terbinanya sebuah negara, tanpa negara tidaklah ada lagi keperluan kewujudan Raja.

38. Teknologi komunikasi dan media amat berpengaruh mencanai persepsi dan pemikiran insan. Raja dan kerabat Diraja tidak terkecuali dari sasaran lensa dan pena media. Puteri Diana adalah satu pengajaran; Puteri Diana dipopularkan melalui lensa dan pena media, digambarkan secara positif - dilukiskan secara negatif. Puteri Diana dipotret memiliki sifat-sifat suci Mother Teresa tetapi dilakarkan juga sebagai model yang memperagakan pakaian berjenama mahal; imej-imej bertentangan menjadi hiasan akhbar dan majalah, menjadi tajuk berita di saluran televisyen dan radio. Puteri Diana terperangkap dalam permainan media dan membayar harga dengan nyawa. Demikian peranan dan pengaruh media di era ini, senjata tajam bermata dua. Perihal peribadi Puteri Diana menjadi makluman umum, jauh berbeza dengan senario di tahun 1936 apabila BBC dan media di United Kingdom tidak menyebarkan hubungan Raja Edward dengan Mrs. Simpson, sehinggalah Raja Edward mengundurkan diri dari takhta Kerajaan.

39. Media, bila dikendali secara bijak, membantu pemahaman dunia akan institusi Raja dan membantu rakyat untuk lebih dapat menghargai dan memahami peranan Raja. Raja George V menggunakan saluran radio menyampaikan titah hari Natal ke seluruh Empayar British sebagai usaha istana mendampingi rakyat. Televisyen dalam tahun 1953 memungkinkan buat pertama kalinya istiadat pertabalan Ratu Elizabeth disiarkan secara langsung. Majlis-majlis perkahwinan dan pertabalan, keputeraan dan kemangkatan Raja diberikan liputan meluas oleh media cetak dan

media elektronik. Raja tidak harus memandang sepi akan peranan media dalam maya yang semakin terbuka. Raja tidak harus kaku menjadi penonton dalam era revolusi media. Apatah lagi keluarga dan kerabat Diraja kini turut melalui kehidupan yang lebih terbuka, mengikuti sistem pendidikan yang lebih terbuka, terlibat dalam proses sosialisasi yang lebih terbuka. Mengurus tadbir media adalah satu seni yang memerlukan kepakaran, hikmah dan kebijaksanaan; mengimbang apa yang patut disuratkan dengan apa yang harus disiratkan. Halaman web tentang Raja wajar dibangunkan, memberi ruang kepada dunia memahami institusi Raja dari perspektif istana.

Raja dan Islam

40. Gerakan kebangkitan Islam memerlukan pemahaman akan realiti yang sedang dan akan berlaku. Kekecewaan di kalangan pelopor gerakan ini menjadi punca kepada keganasan yang mengancam keselamatan dunia. Raja-Raja ada tanggung jawab dalam usaha membantu menangani ancaman ini baik Raja di negara Islam begitu juga di kalangan Raja di negara bukan Islam. Sebahagian dari punca kekecewaan mungkin dapat diselesaikan dari istana. Raja-Raja di negara bukan Islam dapat membantu menangani masalah dan ancaman ini dengan mempelopori perbincangan antara agama dan antara budaya, di samping meningkatkan kefahaman serta sama-sama menyuarakan tuntutan kemanusiaan, membela dan membantu nasib insan yang menderita terutama di bumi Palestin, Afghanistan dan kini Lebanon. Raja boleh mengambil langkah berkesan membantu proses rasionalisasi di kalangan rakyat Islam dan bukan Islam di negara masing-masing.

41. Raja-Raja di alam Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan Islam. Islam mempengaruhi dan mengubah corak pemerintahan, beralih dari pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang. Undang-undang Melaka16 menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan, dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab. Terkandung dalam Kanun bahawa seseorang Raja perlu mengamalkan sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun dan belas kasihan. Sifat mengampuni dan belas kasihan adalah antara sifat yang diutamakan di dalam Islam. Allah itu Maha Pemurah - Maha Mengasihani, seperti yang terkandung dalam kalimah 'Bismillahi Rahmani Rahim', diulang sebanyak seratus empat belas (114) kali di dalam Al-Quran, mendahului permulaan setiap surah melainkan surat 'At -Taubah'; kalimah 'Bismillahi Rahmani Rahim' diulang dua kali dalam surah 'An-Namli'. Islam telah membawa Raja Melayu kepada konsep murni, muafakat dan adil. Konsep adil dapat ditafsirkan sebagai menepati semangat perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan 'magna carta' Melayu bertuankan Raja bersandarkan konsep keadilan yang dibayangkan dengan kata-kata 'Raja Adil - Raja disembah'.

42. Sewajarnya Raja berpegang kepada prinsip utama untuk menentukan kesetiaan. Bahawa jawatan berkembar dengan kuasa; dan kuasa disertai dengan tanggung jawab. Kedudukan dan kuasa adalah anugerah - adalah amanah dari ALLAH SUBHANAHU WATAALA. Kedudukan dan kuasa adalah ujian ILAHI di kalangan hamba Nya yang terpilih. Kedudukan ini tidak sama sekali boleh disalahgunakan dan kuasa yang ada perlu digunakan secara adil untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Berpeganglah kepada prinsip, bahawa kuasa yang diamanahkan tidak harus mengatasi kuasa ILAHI. Amalan perundingan adalah budaya berkerajaan dalam sistem beraja dan budaya bernegara menurut amalan Islam. Khalifah Islam mengamalkan syura dan Raja Melayu melakukan mesyuarah. Ini telah dijadikan amanat penting kepada pewaris takhta seperti terkandung dalam wasiat Sultan Alauddin Shah kepada putera Baginda Sultan Mahmud Shah;

Petikan:

"Hai anakku, ketahui olehmu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya... melainkan iman.....Adapun peninggalku ini hendaklah anakku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera engkau periksa baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu....Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai, tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan adilnya; rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya, jikalau tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri."17 (Petikan dari Sulalat al-Salatin)

43. Anakanda sentiasa insaf bahawa kekuatan serta kelemahan, citra dan daulat Institusi Raja bergantung pada citra serta keutuhan sifat perilaku batang tubuh seseorang Raja. Anakanda amat insaf bahawa Raja dan kerabat Di Raja hari ini tidak lagi bersemayam secara isolasi dalam batasan perkarangan istana. Melalui pendedahan pendidikan berserta pendedahan kepada teknologi maklumat dan komunikasi, Raja sama berpeluang mengikuti pelbagai peristiwa secara langsung tanpa tapisan. Perhubungan rakyat dan Raja tidak lagi terbatas kepada sekumpulan pembesar istana. Ini adalah satu perkembangan sihat namun amat mencabar, membolehkan Raja memahami realiti, bahawa darjat dan daulat seseorang Raja tidakkan bulat datang menggolek - tidakkan pipis datang melayang. Raja perlu membuktikan tahap pencapaian, memenuhi harapan rakyat, mempamerkan perilaku dan keperibadian sejajar dengan kemuliaan dan penghormatan yang diberikan.

44. Telah dijadikan penyuluh hidup akan ungkapan titah Paduka Seri Ayahanda anakanda, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sewaktu Baginda dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1980;

Petikan,

"Bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi Raja, selagi itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium;.... Bahawa takhta juga tidak boleh lari dari hukum Allah, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira Raja atau rakyat"18

45. Bahawa takhta yang kini tinggal dalam sejarah, adalah kerana salah nasihat yang diberi oleh pembesar istana yang tidak bertanggung jawab, pembesar istana yang menyalah gunakan nama mulia Raja. Sejarah juga merakamkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sering kali dilakukan oleh pembesar-pembesar atas nama takhta, mengambil kesempatan ketika berteduh di bawah payung kuasa naungan Raja.

46. Kekuatan dan kelemahan seseorang Raja dipengaruhi oleh kekuatan atau kelemahan terutama di kalangan mereka yang diberi amanah menjadi pembesar dan penasihat Raja. Hubungan Raja, pembesar, pemimpin dan rakyat perlu dibina secara sihat, disuburkan melalui saluran komunikasi yang berkesan. Barisan yang diberikan kepercayaan dan tanggung jawab menasihati Raja, wajib bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar betapa pahit sekalipun, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan - tidak diulit gurindam pujian. Jika jambatan komunikasi yang kukuh dapat dibina, persefahaman dapat diluaskan, hubungan harmonis dapat diakrabkan, Insya Allah Raja akan selamat bertakhta, penuh berdaulat - dikasihi rakyat.

47. Dalam mengharungi perjalanan, dalam memungut pengalaman sebagai bekalan memenuhi tanggung jawab institusi Raja, anakanda senantiasa bersandarkan pedoman, akan amanat yang diturunkan turun temurun - zaman berzaman, bahawa:-

Bapa kepada Raja adalah syariat ajaran Rasul Ibu kepada Raja adalah adat dan undang-undang Saudara kepada Raja adalah segala Menteri Besar dan Kecil Anak kepada Raja adalah segala rakyat jelata Bahawa Raja itu bagaikan tiada bapa, ibu dan anak Tidak diutamakan oleh Raja kepentingan lain melainkan rakyat jelata Malah ungka siamang di hutan jua adalah di bawah jagaan Raja Menjalankan pemerintahan dengan adil Memelihara agama - Menjamin keamanan Menunaikan kewajipan dengan penuh iltizam Jika Raja gagal menjunjung kebenaran ini Maka hancur musnahlah negara.

Ampun Tuanku

48. Didoakan semoga Paduka Seri Ayahanda, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Haji Hassanal Bolkia Mu'izzaaddin Waddaulah, dikurniakan segala keberkatan, dianugerahkan kebesaran, memerintah Negara Brunei Darussalam dalam keadaan aman dan sentosa, makmur dan sejahtera. Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

49. Sekianlah huraian dan pandangan yang tidak sepertinya yang anakanda dapat ungkapkan, dalam huraian yang kurang bijak, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, Paduka Seri Ayahanda jugalah pendeta yang lebih arif lagi bijaksana. Wabillahi taufik walhidaya

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.