Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemeriksaan haid di sekolah perlu dihentikan, kata bekas menteri
Diterbitkan:  Apr 23, 2021 1:27 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik senada dengan mereka yang mengkritik amalan pemeriksaan haid terhadap pelajar sekolah.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, bahawa amalan menjatuhkan maruah tersebut harus dihentikan dan tidak sewajarnya berlaku di mana-mana, apatah lagi di sekolah.

“Tindakan ini merupakan pelanggaran privasi seseorang dan gangguan dan penderaan fizikal; serta ia dilihat menggunakan dasar disiplin atas alasan untuk melakukan perkara tersebut, dan (walaupun ia atas dasar) pendidikan, ia tidak dibenarkan dalam pedagogi (pembelajaran), budaya, agama atau dari segi apa-apa norma pun.

"Pendidikan haruslah diterapkan rasa kasih sayang, kebahagiaan, memelihara integriti, martabat, rasa tanggungjawab, dan saling menghormati.

"Pelajar sekolah kita harus dijaga keselamatan di sekolah dan dilindungi dari sebarang bentuk bahaya dan penderaan," kata Maszlee dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Malaysiakini dimaklumkan bahawa amalan seumpama ini kebanyakannya berlaku di sekolah berasrama penuh, namun ada juga kes yang terjadi di sekolah harian dan sekolah agama persendirian.

Pemeriksaan tersebut - yang dilakukan guru, warden asrama atau pengawas - didakwa mungkin berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Pembuktian dikatakan perlu dibuat dengan meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita atau melakukan calitan pada kemaluan mereka menggunakan kapas, tisu atau jari.

Antara mereka yang mengkritik amalan tersebut termasuklah mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor, dan pelbagai pemimpin wanita dan NGO.

Ketua Majlis Amanah Rakyat (Mara) Azizah Mohd Dun berkata bahawa dia turut menentang amalan tersebut dan akan mengkaji semula aduan tersebut. Difahamkan pemeriksaan tersebut didakwa dilakukan di beberapa sekolah berasrama.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya semalam berkata bahawa dia masih belum menerima maklumat mengenai perkara itu dan oleh itu, dia tidak dapat memberikan sebarang komen.

Lihat Komen
ADS