Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
7 individu protes lanjutan PKPD di kampung di Sabah ditangkap

Polis hari ini menahan tujuh individu yang terlibat dalam protes terhadap lanjutan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah.

Ketua polis daerah Tawau Peter Umbuas mengesahkan tangkapan itu.

Dia berkata, mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPD dengan mengadakan himpunan tersebut.

Menurut beberapa aktivis dan akaun media sosial mereka, protes pada pukul tiga petang tadi diadakan di sempadan penguatkuasaan PKPD di Kampung Muhibbah Raya bagi menggesa kerajaan tidak melanjutkan perintah itu.

"Kami membuat bantahan kerana kebanyakan penduduk kampung di sini bergantung kepada gaji harian, dan dengan penguatkuasaan PKPD, mereka tidak boleh mencari makan.

"Mereka juga tidak diberi bantuan sewajarnya (sepanjang penguatkuasaan perintah itu). Jadi kami menggesa kerajaan untuk tidak melanjutkannya," kata salah seorang aktivis yang dihubungi Malaysiakini.

Malaysiakini difahamkan antara yang ditahan adalah aktivis sosial Mukmin Nantang, Mohd Azwan Irwan dan saudara-mara penduduk kampung yang tinggal di dalam kawasan penguatkuasaan PKPD.

Sebuah video siaran langsung di Facebook menunjukkan sekumpulan 10 individu mengangkat sepanduk di tengah sebuah jalan, yang dipercayai merupakan jalan utama untuk masuk ke Kampung Muhibbah Raya.

Sekumpulan anggota polis kemudian dilihat mendekati mereka sebelum tercetus pertelingkahan dengan salah seorang peserta protes. Merea kemudian ditangkap.

Peter berkata mereka dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.

"Mereka mengadakan protes kerana kecewa dengan pelaksanaan PKPD dan PKP di Tawau.

"Mereka melanggar SOP (dengan membuat protes) dan kami akan melihat jika mereka turut ada membuat pelanggaran lain," katanya lagi.

Bagaimanapun Peter enggan mengulas dakwaan yang penduduk kampung tidak diberi bantuan, dengan berkata ia bukan di bawah bidang kuasa polis.

"Soal itu di bawah bidang kuasa Agensi Pengurusan Bencana dan pasukannya. Saya tak boleh ulas," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan lanjutan PKPD di Kampung Muhibbah Raya untuk 14 hari lagi, bermula 25 April hingga 8 Mei.

Ia susulan kawasan itu terus merekodkan kes positif baru.

Setakat semalam, pihak berkuasa kesihatan telah melakukan 622 ujian saringan kepada penduudk di sana, dengan 70 daripadanya positif dan 310 masih menunggu keputusan.

Lihat Komen
ADS