Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno, MP PKR persoal denda RM50,000 pada peniaga burger
Diterbitkan:  Apr 27, 2021 10:09 AM
Dikemaskini: 2:09 AM

Ahli politik menyuarakan simpati kepada seorang peniaga burger di Kelantan yang dikenakan denda RM50,000 dan mereka menggesa kerajaan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) melibatkan peniaga kecil.

Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pihak berkuasa sepatutnya tidak mengeluarkan kompaun itu, sebaliknya membuat pertimbangan dahulu kepada Wan Mohd Faisal Wan Kadir, yang menjadikan perniagaan burger sebagai satu-satunya punca pendapatan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Pemuda Umno Kelantan memohon agar kerajaan pusat dan negeri melihat balik SOP bagi kes melibatkan peniaga di bulan Ramadhan, yang semestinya berada dalam keadaan terdesak untuk mencari sesuap nasi demi survival hidup keluarga.

"Kami patuh dengan undang-undang namun sedikit pengecualian mungkin boleh dibuat bagi melegakan para peniaga yang kais pagi makan pagi," katanya dalam kenyataan.

Pada 25 April lalu, Wan Mohd Faisal dikenakan denda RM50,000 kerana beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan di bawah penguatkuasaan PKP di Kelantan.

Katanya, dia didatangi polis pada kira-kira pukul 11.10 malam ketika menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pekerja kilang.

"Memang saya belum tutup kedai, tapi dah tak niaga ketika itu. Cuma siapkan tempahan untuk dihantar. Meja pun saya tak buka," katanya kepada Malaysiakini.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, garis panduan menetapkan denda maksimum untuk pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi adalah RM10,000, bukannya RM50,000.

Pesalah juga boleh mendapat pengurangan 50 peratus jika membuat bayaran dalam tempoh seminggu dan 25 peratus jika menjelaskannya dalam tempoh dua minggu, katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang mengecam kerajaan sebagai "buta perut" dengan jumlah denda seumpama itu.

"Berapa biji burger yang perlu dijual oleh Wan Mohd Faisal untuk membayar kompaun itu?

"Pada masa sama, menteri Perikatan Nasional dan VIP yang didapati ingkar SOP sama ada tidak dihukum atau dikenakan denda yang ringan. Layanan dua darjat inilah yang menimbulkan kemarahan rakyat," katanya.

Dia menggesa kerajaan menurunkan jumlah kompaun maksimum kepada kadar yang wajar, misalnya RM5,000, dan menyelaraskan garis panduan dengan kerajaan negeri agar tidak mengelirukan orang ramai.

Lihat Komen
ADS