Masyarakat dunia, termasuk kepimpinan tertinggi kerajaan Perancis masih ragu-ragu mengenai ketepatan laporan yang memetik memorandum perisikan negara itu mengenai kemungkinan besar pemimpin terulung al-Qaeda, Osama bin Laden telah meninggalkan akibat demam kepialu.

Kerajaan Perancis, Amerika Syarikat, Pakistan dan Arab Saudi semuanya mengatakan mereka tidak mempunyai sebarang bukti untuk menyokong dakwaan dalam memorandum tersebut, yang disiarkan oleh akhbar Perancis l'Est Republicain (Sabtu lalu) dan Le Parisien (semalam).

"Setakat yang saya tahu, Osama bin Laden tidak mati...," kata Menteri Luar Perancis, Philippe Douste-Blazy kepada stesen televisyen Perancis semalam.

Menurut laporan AFP, Sabtu lalu, Presiden Jacques Chirac mengesahkan bahawa memo itu adalah asli dan beliau "terperanjat" ia disiarkan oleh akhbar serta mengarahkan kebocoran maklumat itu disiasata. Bagaimanapun, beliau mengesahkan maklumat itu "tidak disahkan".

Bagaimanapun, laporan yang berterusan mengenai Osama sedang sakit, telah meniupkan lagi spekulasi mengenai nasibnya. Satu dokumen rahsia yang didraf oleh perkhidmatan perisikan luar Perancis, DGSE yang bertarikh 21 September, menyebut mengikut sumber yang layak dipercayai, perkhidmatan perisikan Arab Saudi "yakin bahawa Osama bin Laden telah meninggal dunia."

Menurutnya, pemimpin al-Qaeda yang berusia 49 tahun itu yang bertanggungjawab terhadap serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat telah meninggal dunia akibat demam kepialu ketika berada di Pakistan antara 23 Ogos dan 4 September lalu. Pihak Saudi juga sedang berusaha mencari mayat Osama sebagai bukti dia telah meninggal dunia, kata memo tersebut.

Tiada komunikasi

Dalam reaksinya, Kedutaan Arab Saudi di Washington menerbitkan kenyataan dua perenggan yang berbunyi "Kerajaan Arab Saudi tidak mempunyi bukti untuk menyokong laporan akhbar baru-baru ini bahawa Osama bin Laden telah meninggal dunia".

"Maklumat yang dilaporkan itu merupakan satu spekulasi semata-mata dan tidak dapat disahkah," kata kenyataan itu lagi.

Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice pula hanya berkata: "Tiada komen, dan tidak tahu." Beberapa pegawai perisikan Amerika memberitahu media negara itu bahawa mereka tidak mengesan sebarang komunikasi luar biasa, termasuk di Internet yang sepatutnya berlaku jika perkara tersebut benar-benar berlaku.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Aftab Sherpao pula memberitahu AFP di Islamabad: "Tidak, kami tidak mempunyai sebarang maklumat seperti itu." Pihak keselamatan yang menjejak al-Qaeda di Pakistan juga turut menolak laporan tersebut.

Seorang pegawai kanan yang tidak mahu namanya disebut, memberitahu AFP bahawa "Tidak ada maklumat seumpama itu yang dikongsi bersama" oleh pihak Arab Saudi dan "tidak dapat dibayangkan perkembangan seumpama itu tidak disedari di Pakistan".

Sebelum ini, Osama sudah banyak kali dikhabarkan meninggal dunia, tetapi tidak lama kemudiannya beliau muncul dalam rakaman audio atau rakaman video. Yang terakhirnya disiarkan di Internet pada 1 Julai lalu, di mana beliau ang menuduh puak Shiah di Iraq sedang melancarkan gerakan 'penghapusan' puak Suni.

Seorang pegawai Amerika berkata, mesej tersebut dianggap tulen. Kali terakhir imej wajah Osama dilihat ialah pada Oktober 2004 dalam satu rakaman video yang dihantar kepada rangkaian stesen televisyen Arab Al Jazeera.

Serangan berani mati

Osama yang dilahirkan di Arab Saudi dalam sebuah keluarga yang kaya dan rapat dengan pihak istana, dituduh membiayai dan mengarahkan serangan 11 September 2001 ke atas New York dan Washington yang mengorban kira-kira 3,000 orang.

Pertubuhan al-Qaeda pimpinannya juga turut dikaitkan dengan beberapa lagi serangan, termasuk pengeboman Kedutaan Amerika di Afrika pada 1998, serangan bom berani mati ke atas kapal perang Amerika di Yemen pada 2000, serta pengeboman keretapi di Madrid pada 2004.

Osama sering berjaya memboloskan diri termasuk semasa Amerika mengetuai pencerobohan ke atas Afghanistan dan mengguling kerajaan Taliban yang menyediakan tempat persembunyian dan perlindungan kepadanya, serta tawaran ganjaran wangtunai 25 juta ke atasnya.

Sejak akhir-akhir ini sering timbul laporan yang mengadakan pemimpin al-Qaeda itu menghadapi masalah kesihatan.

Yang terbaru ialah laporan majalah Time dan rangkaian televisyen CNN kedua-dua milik Time Warner hujung minggu lalu bahawa Osama sedang sakit. Bagaimanapun ia tidak menyebut sama ada Osama sudah meninggal dunia.

Majalah Time melaporkan "sumber tertinggi di Washington" percaya perkhabaran mengenai kematian Osama berpunca daripada "penganalisa perisikan Arab Saudi tanpa bukti kukuh untuk menyokongnya. Tiada seorangpun mereka di peringkat tertinggi percaya ianya benar."