Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kompaun tinggi tak berkesan kawal Covid-19 – Syahredzan
Diterbitkan:  Apr 30, 2021 10:44 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Peningkatan kompaun bagi pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 tidak mengekang penularan wabak tersebut, kata setiausaha politik ahli parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan.

“Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob telah mengatakan bahawa peningkatan kompaun ini untuk ‘menjaga rakyat’ dan bukannya menganiaya rakyat.

“Akan tetapi, jelas daripada data dan angka sejak 49 hari yang lepas bahawa peningkatan jumlah kompaun yang tinggi langsung tidak berkesan dalam mengawal penyebaran virus tersebut malahan bersifat menekan rakyat," jelasnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Twitter hari ini.

Syahredzan berkata, semasa Ordinan Darurat dimasyurkan pada 11 Mac 2021, terdapat 1,647 kes baru dengan 319,363 kes kumulatif dan 9 kematian dengan 1,200 kematian kumulatif direkodkan.

Namun semalam terdapat sebanyak  3,332 kes baru dengan jumlah keseluruhan 404,925, manakala 15 kematian dengan jumlah kumulatif 1,492 kematian direkodkan.

"Ini bermakna terdapat peningkatan sebanyak 85,561 kes positif kumulatif dan 292 kematian yang bertambah sejak Ordinan Darurat ini berkuat kuasa," katanya.

Susulan itu, Syahredzan menggesa kerajaan supaya menarik balik jumlah kompaun yang tinggi.

Malah, jelasnya, kerajaan harus meningkatkan kesedaran dan pada masa sama tiada tindakan berat sebelah dalam pelaksanaan undang-undang sedia ada.

Baru-baru ini tiga individu di Kelantan dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 seorang kerana didakwa melanggar SOP Covid-19.

Peniaga colek Mohd Azizi Mohd Nor mendakwa telah menutup kedainya dan sedang menggoreng keropok untuk anaknya apabila dikompaun kerana melanggar SOP Covid-19 iaitu berniaga melebihi had waktu ditetapkan.

Seorang peniaga kedai runcit Mansah Marjurin, dikenakan kompaun RM50,000 ketika sedang mengemas untuk menutup kedai.

Lihat Komen
ADS