Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan: Bekas pengarah AIAC berhak dapat imuniti
Diterbitkan:  Apr 30, 2021 4:19 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Prof Dr N Sundra Rajoo berhak mendapat imuniti daripada sebarang tindakan pendakwaan ke atasnya ketika memegang jawatan itu.

Panel itu yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan sebulat suara, membenarkan rayuan Sundra Rajoo untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi bahawa beliau (Sundra Rajoo) sebagai bekas pegawai tinggi AIAC, kebal daripada pendakwaan atas tindakan yang dilakukan dalam kapasiti rasminya.

“Pada pandangan kami, perkataan ‘proses undang-undang’ yang digunakan dalam Bahagian II Jadual Kedua Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 termasuk prosiding jenayah,” katanya.

Mahkamah menjawab persoalan undang-undang itu secara afirmatif, bahawa perkataan “kekebalan daripada saman atau daripada proses undang-undang lain” dalam Jadual Kedua Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 termasuk prosiding jenayah.

Hakim Tengku Maimun juga berkata Peguam Negara mempunyai budi bicara tunggal dan eksklusif untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, beliau berkata Peguam Negara tidak mempunyai budi bicara mutlak dan tidak terikat dalam kes-kes jarang dan luar biasa dan budi bicara itu tertakluk kepada semakan kehakiman.

Hakim Tengku Maimun berkata kes Sundra Rajoo adalah kes yang wajar dan sesuai untuk ditentukan terlebih dahulu oleh semakan kehakiman.

Dalam membenarkan rayuan Sundra Rajoo untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan, beliau berkata mahkamah tidak keberatan untuk mengembalikan keseluruhan perintah Mahkamah Tinggi kecuali untuk pengisytiharan bahawa Sundra Rajoo memiliki kekebalan sebagai bekas pegawai tinggi.

Panel itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf dan hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu memutuskan bahawa forum yang sesuai untuk memutuskan isu imuniti Sundra Rajoo ialah mahkamah jenayah dan bukan mahkamah sivil serta remedi mengenai sama ada Sundra Rajoo adalah kebal daripada pendakwaan perlu ditentukan di mahkamah jenayah selepas bukti dikemukakan pihak pendakwaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah membenarkan rayuan Kementerian Luar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan dan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Dis 2019.

Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman Sundra Rajoo dan mengeluarkan deklarasi bahawa beliau adalah kebal daripada pendakwaan bagi tindakan yang dilakukan dalam kapasiti rasminya.

Sundra Rajoo, 65, mengetuai AIAC dari 2010 hingga akhir tahun 2018.

Pada 22 Jan tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membatalkan tiga pertuduhan CBT membabitkan dana AIAC berjumlah lebih RM1 juta terhadap Sundra Rajoo selepas hakim itu memutuskan bahawa beliau adalah terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebut bahawa Sundra Rajoo memiliki imuniti daripada sebarang pendakwaan bagi tindakan yang dilakukan dalam kapasiti rasminya.

Sepasukan peguam diketuai Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili Sundra Rajoo manakala Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy dan Suzana Atan mewakili pihak responden.

- Bernama

Lihat Komen
ADS