Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Marina pilih DAP untuk satukan kaum walaupun dilabel rasis

WAWANCARA | Jika ada persepsi negatif terhadap DAP yang boleh diungkapkan dalam satu kata, perkataan ia adalah ‘perkauman’.

Namun bagi Marina Ibrahim, dia nekad untuk membuktikan bahawa stereotaip seumpama itu sebagai tidak benar.

Wanita berusia 34 tahun yang menjadi aktivis masyarakat di Johor itu menyertai DAP apabila dipelawa oleh anggota parlimen Kluang, Wong Shu Qi pada 2016.

“DAP adalah parti yang tepat untuk saya pilih. Sebab masa itu kalau saya lihat pun ada orang cakap DAP ni adalah parti yang rasis, chauvinist so saya rasa kalau betullah DAP macam tu, saya cabar diri saya.

“Jadi saya rasa saya nak masuk dalam parti tersebut, saya nak buat satu aktiviti yang mana sekarang pun saya suka satu aktiviti yang bersifat kebudayaan.Maksudnya memperkenalkan budaya dan bangsanya kepada kaum-kaum lain. Jadi, dari situlah saya pilih DAP,” katanya menerusi wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Antara program penting yang telah dibantu dan disertai adalah dialog antara agama mengenai puasa - bersama pastor Kristian, sami Hindu, sami Budha dan ustaz.

Dia juga fokus kepada usaha membawa kanak-kanak daripada latar belakang kaum berlainan menerusi aktiviti seperti belajar membuat kek bulan dan kaligrafi termasuk Jawi.

Pandangan Marina mengenai pentingan rakyat Malaysia bersatu padu turut mewarnai perspektifnya terhadap DAP di tengah bahang pemilihan parti dan pertelingkahan pendapat antara mereka yang mahukan DAP menjadi lebih inklusif dan kumpulan cauvinis Cina.

“Hati kita perlu terbuka untuk menerima satu sama lain, dan kita perlu ada matlamat- yang mahukan DAP untuk menang (kerusi yang ditandingi) pada pilihan raya umum (PRU) kelak.

“Jika DAP sudah berani letakkan calon berlainan bangsa, ia bukan hanya memanfaatkan parti…rakyat juga akan yakin bahawa DAP bukan hanya parti Cina,” katanya lagi.

Marina mengakui terdapat kaum Melayu yang mempunyai pandangan negatif terhadap DAP, malah dia mengalami tentangan daripada masyarakat Melayu sewaktu menjawat jawatan Majlis Perbandaran Kulai ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Namun dia optimistik bahawa pandangan itu akan berubah

Marina pertama kali menjadi tumpuan apabila dia mencabar jawatan Ketua Pemuda DAP Johor menentang wakil rakyat Paloh, Sheikh Omar Ali pada tahun 2019.

Dia kini menjawat jawatan sebagai setiausaha publisiti Wanita DAP Johor.

Berikut adalah petikan wawancara, yang diringkaskan:

Malaysiakini: Apa yang buat DAP menarik berbanding dengan parti lain seperti PKR, Amanah?

Marina: Ok, asalnya saya ini sebenarnya dibesarkan di kawasan estet oleh nenek saya. Waktu itu ibu saya adalah seorang ibu tunggal. Jadi saya lihat zaman tersebut waktu saya tinggal dengan nenek saya, yang mana kaum India, Cina dan Melayu dia boleh bercampur gaul.

Bila satu fasa yang mana nenek saya keluar ke kampung, maksudnya Melayu pergi ke kampung Melayu dan bangsa lain pergi ke kampung lain, saya lihat walaupun dalam suasana yang pernah bercampur kemudian setelah kita berpisah kita ada rasa sentimen kaum.

Dan bila masa sekolah menengah pun sama juga saya lihat perkara yang sama. Yang mana bila sekolah boleh berkawan dengan kawan-kawan yang berbangsa bukannya Melayu, kemudian saya lihat lontaran-lontaran komen oleh rakan-rakan sekolah dulu seperti mereka ini tak pernah bercampur gaul dengan bangsa lain.

Yang mana dari situ saya fikir saya mungkin nak buat sesuatu yang mana sebelum ini saya ada sertai sukarelawan kan. Jadi saya fikir saya nak buat sesuatu yang mana saya fikir saya boleh merapatkan atau memberikan kesepaduan kaum antara pelbagai kaum dekat Malaysia ini.

Malaysiakini: Apa pengalaman menjadi ahli DAP daripada kaum Melayu.

Marina: Tak seperti apa yang orang-orang cakap atau nyatakan. Yang mana saya rasa masa itu saya adalah orang Melayu dalam cawangan saya tetapi semua pemimpin-pemimpin Cina dekat cawangan saya ini dia tolak saya untuk ke depan.

Dia cakap Marina mungkin boleh buat sesuatu untuk parti kita. Yang mana waktu itu saya buat aktiviti walaupun masa tu saya buat aktiviti yang bercorak keagamaan, contoh adalah forum silang budaya.

Walau apa-apa idea yang saya lontarkan kami boleh berbincang dan terima. Setakat ini saya rasa pandangan saya tidak pernah diketepikan.

Malaysiakini: Apa yang boleh dikatakan kepada pengkritik yang dakwa DAP hanya meletakkan calon Melayu dan India sebagai token wakil dan tidak mencerminkan polisi DAP sebenar-benarnya? Bahawa parti itu hanya berat kepada kaum Cina.

Marina: Oh saya rasa perkara tersebut bukan perkara yang betullah. Contohnya ada orang cakap sebelum ini saya rasa ramai yang menyatakan bahawa DAP meletakkan calon- calon Melayu ini sebagai macam berniat jahat.

Sebenarnya pemimpin DAP sendiri walaupun mereka berbangsa Cina tapi mereka sendiri ramai yang berfikiran terbuka dan menerima kaum Melayu sendiri tanpa ada pemikiran kecinaan sebegitu.

Kadang-kadang ada orang tanya saya dia kata “Eh Marina betul ke kalau kita ni Melayu masuk dalam DAP senang naik (jawatan)?” Tapi saya menyatakan bahawa saya tak pernah naik dengan sebegitu mudah tetapi saya cakap ada ramai juga orang Melayu dalam DAP. Yang kita nampak mungkin Young Syefura Othman, Dyana Sofya Mohd Daud, dan lain-lain.

Tapi apa yang pemimpin lihat adalah apakah usaha ataupun apa benda yang boleh dilakukan oleh ahli-ahli Melayu yang boleh kedepankan usaha-usaha mereka.

Dan saya rasa pertimbangan parti untuk meletakkan kaum Melayu untuk dijadikan calon dan sebagainya bukan pertimbangan hanya untuk setakat mendapat undi atau pelantikan orang Melayu sendiri.

Malaysiakini: Apa pula komen tentang pandangan orang tentang orang Melayu yang menyertai DAP adalah liberal?

Marina: Orang boleh bercakap apa yang dia nak. Tetapi apa yang kita buat adalah pembuktian.

Yang mana saya bagi contoh semasa saya menjawat jawatan sebagai ahli majlis, saya mencabar diri saya untuk ambil tempat di kawasan orang Melayu. Yang mana kebanyakannya adalah kawasan Umno yang kita memang tak menang dekat situ.

Tapi saya mencabar diri saya untuk diletakkan kat situ. Yang mana ketika pertama kali saya membuat majlis atau program dekat situ saya tak diterima sebab semua orang macam “Oh Marina DAP, program pun dihadiri ahli jawatankuasa zon saya seramai 10-15 orang macam tu saja.

Kita jangan berputus asa. Dalam kita mendidik orang dalam memberi penerangan, kita jangan marah atau maki hamun orang. Tapi kita kena berterusan sebab kalau betul apa niat yang kita nak buat itu betul, bagi saya lama kelamaan orang akan nampak.

Sehingga kini saya boleh buat lagi walaupun saya tak menjawat lagi jawatan sebagai ahli majlis. Saya masih aktif lagi di kawasan saya. Kadang-kadang makcik atau pakcik dia akan mesej, dia cakap Marina lama tak nampak merajuk ke dah tak nak datang kat sini lagi. Jadi, saya rasa macam tersentuh hati.

Walaupun program yang dihadiri 10-15 orang tapi kini saya boleh buat program besar yang dihadiri 200 orang. Penerimaannya walaupun saya bukan lagi ahli majlis kawasan tersebut mereka boleh terima saya dengan hati terbuka. Dan tiada masalah untuk saya.

Lihat Komen
ADS