Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tuntut kerajaan PN jawab dakwaan Hamid Bador
Diterbitkan:  May 2, 2021 1:43 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Kerajaan bukan saja perlu menyiasat dakwaan dibuat Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador, malah mesti memberikan penjelasan berhubung isu itu, kata Anwar Ibrahim.

Menurut pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai sebuah badan utama negara dalam mengangkat kedaulatan undang-undang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepatutnya bebas daripada sebarang campur tangan politik.

Campur tangan yang didakwa Abdul Hamid itu, kata Anwar, secara tidak langsung juga membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang "tiada keabsahan" itu menggunakan pelbagai cara dan helah untuk berpaut pada kuasa.

"Saya menggesa siasatan menyeluruh dan lengkap dilakukan bagi menyiasat pendedahan ini, dan pemerintah mesti menjawab segala dakwaan sesegera mungkin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 30 April lalu - dalam sidang media terakhirnya sebagai IGP - Abdul Hamid mendedahkan bagaimana tugasnya dalam PDRM 'terganggu' dengan adanya campur tangan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Abdul Hamid juga mengakui hubungan dia dengan Hamzah tidak mesra apabila setiausaha agung Bersatu itu didakwa terbabit mengatur pelantikan pegawai-pegawai kanan dalam PDRM.

Justeru bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu mencadangkan agar individu yang bebas dan tiada konflik kepentingan dilantik mengetuai Suruhanjaya Pasukan Polis bagi mengelak kejadian sama berlaku lagi. 

Untuk rekod Abdul Hamid adalah pegawai kanan polis yang sebelum ini ditukarkan melalui notis 24 jam dari PDRM ke Jabatan Perdana Menteri semasa skandal 1MDB hangat diperkatakan sebelum PRU ke-18 lalu.

Abdul Hamid sempat menjadi pekebun selepas bersara pada 2016 dan menceritakan bagaimana seorang konstabel bermotosikal pernah meminta rasuah semasa ditahan di jalan raya kerana didakwa membawa lebihan muatan dalam trak pikapnya. 

Menurut Anwar pendedahan Abdul Hamid itu sangat mencemar nama baik polis.

"(Pendedahan) itu juga merobek keyakinan rakyat sehingga boleh menimbulkan kesangsian terhadap kredibiliti PDRM pada saat ini," katanya. 

 

Lihat Komen
ADS